Penetapan harga maksimum daging lembu tidak aniaya peniaga

Iklan
Alexander Nanta Linggi

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan akan meneruskan pelaksanaan harga maksimum daging lembu tempatan sebanyak RM34 sekilogram, seperti yang diwartakan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2021.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penetapan harga siling tersebut dibuat secara seimbang hasil kajian menyeluruh di peringkat pengeluar, pemborong sehingga peruncit dengan semua pihak masih boleh mendapat keuntungan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, SHMMP HRP 2021 yang berkuat kuasa 21 April sehingga 20 Mei itu turut melindungi kepentingan kumpulan peniaga untuk memastikan elemen mengaut keuntungan berlebihan tidak berlaku.

"Isu kenaikan harga tidak hanya berlaku antara peniaga dengan pengguna, tetapi juga dalam kalangan peniaga sesama peniaga.

Iklan

"Peniaga daging lembu tempatan juga pengguna barang keperluan lain.

"Jadi, kerajaan melaksanakan SHMMP HRP 2021 yang menetapkan harga siling di setiap peringkat perniagaan (ladang, borong dan runcit) agar tiada manipulasi harga untuk mengaut keuntungan yang tidak munasabah berlaku antara peniaga kepada peniaga,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, penetapan harga maksimum daging lembu tempatan adalah untuk bahagian lembu biasa sahaja yang menjadi pilihan sebahagian besar pengguna.

"Bahagian lain seperti tulang, hati, limpa, perut, usus, ekor, daging batang pinang, daging harimau menangis serta bahagian daging yang dibuang urat dan lemak tidak termasuk dalam harga siling SHMMP dan peniaga bebas menjualnya pada harga munasabah.

"Pengguna yang menginginkan bahagian lembu premium seharusnya bersedia untuk membayar pada harga premium juga,” katanya.

Nanta berkata, peniaga masih boleh mengaut untung semasa pelaksanaan SHMMP HRP 2021, namun margin keuntungan mungkin tidak seperti hari biasa dan seharusnya dapat ditampung oleh permintaan yang tinggi semasa musim perayaan.

"Pada hari biasa, peniaga boleh menentukan sendiri harga jualan dan margin keuntungan yang dikehendaki.

"Bagaimanapun, jika berlaku jualan harga runcit yang tidak munasabah dan wujud elemen pencatutan kepada pengguna, peniaga boleh disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011),” jelasnya.

SHMMP dilaksanakan sebagai usaha dan komitmen kerajaan untuk mengurus risiko kenaikan harga yang tidak terkawal di pasaran akibat permintaan yang tinggi menjelang dan semasa musim perayaan.

-tamat-