PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah membuka jalan bagi syarikat Malaysia memperluaskan eksport ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) melalui kerjasama dengan peruncit utama dan penyedia penjagaan kesihatan.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, MATRADE berkata, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini telah mengetuai misi perdagangan dan pelaburan untuk meningkatkan kerjasama dua hala Malaysia dengan Arab Saudi dan UAE ke arah yang lebih komprehensif dan strategik.
Menurut MATRADE, misi yang bermula 26 April hingga 4 Mei 2021 itu juga bertujuan untuk membina semula keyakinan dalam kalangan komuniti perniagaan dengan memperlihatkan komitmen kerajaan dan sifat pro-perniagaan dalam menghadapi masa-masa yang mencabar.
"Ini juga merupakan tindakan susulan daripada kunjungan rasmi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke kedua-dua buah negara tersebut pada Mac tahun ini.
"Menyedari akan pentingnya perdagangan dua hala dengan kedua-dua negara, MATRADE telah mengatur beberapa pertemuan perniagaan dengan syarikat terkemuka Arab Saudi dan UAE sepanjang misi berkenaan,” katanya.
Antara sektor yang menjadi tumpuan ialah penjagaan kesihatan, pengurusan fasiliti, alat perubatan, perabot, minyak sawit, barangan pengguna cepat laris (FMCG) dan produk gaya hidup.
MATRADE berkata, ia akan menganjurkan program khas untuk Savola Group, antara pengimport utama minyak sawit Malaysia dari Arab Saudi yang komited untuk meningkatkan sumber komoditi dari Malaysia.
Katanya, Savola Group merancang menjadikan Arab Saudi sebagai pusat pengedarannya untuk pasaran lain di Majlis Kerjasama Teluk, Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).
Bagi mempermudahkan minat yang ditunjukkan oleh Savola Group, MATRADE telah mempelawa syarikat itu untuk mengunjungi Malaysia terutamanya semasa Pameran Halal Antarabangsa Malaysia yang akan diadakan bermula 9 hingga 12 September 2021.
Melalui misi itu, MATRADE berkata, Kluster Penjagaan Kesihatan Mekah (MHC) turut meninjau kemungkinan bekerjasama dengan penyedia penjagaan kesihatan atau pengendali hospital Malaysia untuk bersama-sama mengembangkan Institut Jantung Kesihatan Mekah, Institut Onkologi Penjagaan Kesihatan Mekah dan sekolah kejururawatan di Makkah.
MHC mentadbir bandar perubatan, sembilan hospital awam dan 82 pusat kesihatan awam di kota suci.
Menurut MATRADE, MHC merancang bekerjasama dengan pembekal produk dan perkhidmatan perubatan Malaysia untuk kemudahannya.
Semasa misi ke Arab Saudi, Mohamed Azmin menyaksikan pemeteraian Memorandum Eksplorasi Perniagaan (MOBE) antara UEM Edgenta Bhd dan ASMA Advanced Solutions LLC, sebuah syarikat Arab Saudi yang pengkhususan dalam pengurusan sistem air.
Sementara itu di UAE, MATRADE berkata, melalui pertemuan dengan konglomerat runcit, Landmark Group dan Lulu Group, kedua-dua syarikat menyatakan komitmen masing-masing untuk meningkatkan sumber dan memperluas rangkaian produk dari Malaysia.
Kedua-dua syarikat juga merancang menggunakan Malaysia sebagai pusat sumber dan pengedaran mereka di ASEAN.
MATRADE seterusnya menyatakan ia akan mengatur program penyumberan khusus untuk syarikat yang menyasarkan sektor khusus seperti gaya hidup, perabot berkualiti tinggi dan produk dan perkakas berteknologi tinggi dan FMCG. - Bernama