PENJAGA gol Perak FC, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy mengesahkan dilamar tiga pasukan yang beraksi dalam Liga Super pada musim ini, masing-masing pasukan dari pantai timur, Lembah Klang dan selatan tanah air.
Bagaimanapun, Hafizul Hakim berkata, beliau masih berfikir dan berbincang dengan keluarganya sebelum membuat sebarang keputusan.
"Bukan senang untuk saya tinggalkan Perak yang merupakan negeri kelahiran saya sendiri, cuma saya kena fikirkan masa depan dan keputusan sama ada kekal atau berhijrah akan dibuat dalam masa terdekat," katanya pada Selasa.
Sabtu lalu, Perak FC kehilangan kapten pasukan, Shahrul Saad dan penyerang naturalisasi, Guilherme De Paula yang berhijrah ke Johor Darul Ta'zim (JDT) manakala Kenny Pal Raj serta J Parthiban pula telah memuktamadkan keputusan menyertai KL City FC pada Isnin.
Dalam pada itu, Hafizul Hakim percaya akan ada lagi beberapa pemain utama bakal berhijrah ke pasukan lain memandangkan tiada kata putus yang konkrit dibuat pihak pengurusan bagi memastikan masalah gaji pemain dapat diatasi.
"Siapa yang akan keluar (daripada pasukan) saya tidak boleh dedahkan cuma keputusan yang akan diambil oleh mereka adalah disebabkan memikirkan tentang masa depan dan perjalanan karier," katanya.
Selain itu, beliau berkata, rata-rata tonggak utama mengambil keputusan 'angkat kaki' bukan semata-mata kerana kelewatan pembayaran gaji tetapi sikap pengurusan Perak FC yang tidak menghormati pemain.
"Mereka kecewa sampai ada (pengurusan) yang kata kalau tiada jiwa untuk bermain dengan Perak, boleh cari pasukan lain. Bagi saya ini bukan satu kenyataan yang bijak dalam keadaan pasukan terumbang-ambing," jelasnya. - Bernama