Solat Aidilfitri: Kehadiran jemaah secara jemputan di Pahang

Iklan
Pahang membenarkan solat sunat Aidilfitri dengan bilangan jemaah dihadkan hanya 50 orang di masjid dan 20 orang di surau. Gambar kecil: Zulkifle

KUANTAN - Solat sunat Aidilfitri dibenarkan di Pahang dengan bilangan jemaah dihadkan hanya 50 orang di masjid dan 20 orang di surau.

Bagaimanapun berdasarkan garis panduan aktiviti sempena Aidilfitri dikeluarkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), kehadiran jemaah ditentukan secara jemputan oleh pihak pengurusan masjid dan surau masing-masing.

Iklan
Iklan

Pengarah JAIP, Datuk Dr Zulkifle Ali berkata, kebenaran untuk solat sunat Aidilfitri hanya sehingga jam 9.30 pagi dan tidak melibatkan imam dari luar Pahang.

Menurutnya, ibadah sunat itu juga dibenarkan diadakan di rumah masing-masing melibatkan ahli keluarga serumah sahaja.

Iklan

"Takbir malam hari raya di masjid dan surau dibenarkan sehingga jam 10 malam dan bermula jam 7.30 pagi pada pagi hari raya sebelum solat sunat Aidilfitri.

"Takbir hari raya dari rumah ke rumah, ziarah tanah perkuburan dan ziarah rumah ke rumah tidak dibenarkan," katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Zulkifle berkata, pemantauan dan pemeriksaan secara mengejut akan dibuat pasukan pemantau bagi memastikan semua SOP sentiasa dipatuhi.

"Pihak masjid dan surau perlu mematuhi pekeliling, arahan sedia ada dan arahan dari masa ke masa dikeluarkan oleh pihak JAIP.

"Mana-mana masjid, surau dan jemaah yang didapati gagal mematuhi SOP yang ditetapkan dan disahkan berlakunya penularan Covid-19 disebabkan aktiviti sempena Aidilfitri yang dibenarkan akan berdepan tindakan," katanya.

Tambah beliau, kegagalan mematuhi SOP, mengawal jemaah, jumlah jemaah melebihi kapasiti dibenarkan dan aktiviti yang dilakukan di luar waktu aktiviti dibenarkan boleh menyebabkan kebenaran itu dibatalkan.