Aidilfitri: Lawatan khas keluarga penghuni penjara dibatalkan

Iklan
Lawatan khas keluarga penghuni sempena Hari Raya Aidilfitri di semua institusi penjara dibatalkan. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Lawatan khas keluarga penghuni sempena Hari Raya Aidilfitri di semua institusi penjara dibatalkan, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara berkuat kuasa esok hingga 7 Jun ini.

Berikutan itu Jabatan Penjara dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, pihaknya akan menyediakan kemudahan sidang video melalui emel jabatan (Icewarp) bermula 15 Mei (Sabtu) hingga 7 Jun.

Iklan
Iklan

"Tempoh ini lebih lama daripada tempoh perjumpaan yang dijadualkan sebelum ini (iaitu lima hari). Lawatan perjumpaan melalui kaedah tersebut (Icewarp), hanya dibenarkan kepada keluarga penghuni yang membuat tempahan melalui penjara berkaitan sahaja.

"Tempahan boleh dibuat bermula hari ini melalui dua kaedah iaitu, panggilan telefon di institusi berkenaan dan emel, atau menghantar surat ke institusi berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Iklan

Seterusnya, pihak penjara akan menetapkan tarikh perjumpaan dengan tempoh masa perjumpaan maksimum selama 15 minit, bergantung kepada situasi semasa penjara berkenaan.

"Bagi memberi peluang kepada semua keluarga penghuni, perjumpaan untuk setiap penghuni hanya dibenarkan sekali sahaja. Penghuni juga dibenarkan menggunakan kemudahan telefon prabayar yang disediakan, untuk menghubungi keluarga sekiranya perlu,” menurut kenyataan itu.

Iklan

Jabatan Penjara meminta keluarga penghuni supaya mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu menerusi laman web, www.prison.gov.my. - Bernama