KLANG - Pemilik unit rumah di Apartmen Serunai, Bandar Bukit Raja di sini kecewa apabila rumah yang baru mereka miliki pada Februari lalu rosak akibat penyelenggaraan yang kurang cekap daripada pihak pemaju.
Wakil pemilik unit yang ingin dikenali sebagai Didi berkata, mereka berdepan pelbagai kerosakan di Blok B pangsapuri terbabit meliputi masalah siling terbang di tingkat 15, kemasukan air hujan di unit sembilan dan 15, serta kemudahan dalam bangunan seperti lif yang kerap rosak.
Menurut Didi, pihaknya membuat aduan berkali-kali kepada pihak pemaju sejak beberapa minggu yang lalu, tapi respons yang mereka terima sangat menghampakan.
"Pihak pembeli sudah kecewa dengan pemaju sejak Disember tahun lalu yang mana mereka melambatkan penyerahan kunci kepada pemilik.
"Sekarang ini dah dapat kunci, kami perlu tunggu proses ubah suai selesai dan bila boleh pindah masuk ke dalam rumah, tapi ini pula yang jadi.
"Saya pernah adukan kepada pihak pemaju, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, tapi maklum balas yang kami terima sangat mengecewakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Pemilik rumah yang ingin dikenali sebagai Nur berkata, rumahnya sering dimasuki air akibat tempias hujan lebat yang melanda sejak kebelakangan ini.
Ujar Nur, dia kecewa dengan pihak pengurusan yang mengambil mudah aduan yang dibuat olehnya sejak sebulan lalu dan masih tiada inisiatif diambil oleh pihak terbabit untuk menyelesaikan masalah tersebut.
"Setiap kali waktu hujan lebat, air memang akan masuk ke dalam rumah, sampai ada jiran mengadu pintu rumah mereka mulai kembang kerana terlalu banyak air masuk.
"Bila saya adukan kepada pihak pengurusan, mereka kata perlu tunggu mesyuarat agung tahunan (AGM) diadakan supaya perbincangan dapat dibuat.
"Kami fikir kami beli rumah ini kerana inginkan keselesaan sekeluarga, tapi kalau macam ini, susahlah,” katanya.
Selain daripada masalah tersebut, salah seorang pemilik yang ingin dikenali sebagai Wan berkata, kepingan siling di tingkat 15 Blok B pangsapuri tersebut turut terbang dan jatuh ke bawah apabila ditiup angin yang turut membahayakan penduduk yang lalu-lalang di kawasan tersebut.
Wan mendakwa, pihak kontraktor menggunakan siling jenis panel yang tidak sesuai digunakan pada pangsapuri yang berada di kawasan berangin kencang dan tinggi.
"Saya berpandangan bahawa spesifikasi yang diberikan oleh pihak pemaju kepada kontraktor untuk menggunakan material siling sebegitu adalah tidak sesuai memandangkan kawasan tersebut mempunyai tiupan angin yang tinggi.
"Sepatutnya pemaju memberikan spesifikasi siling menggunakan material yang lebih berat dan mampu mengurangkan rintangan angin seperti siling plaster berserat,” katanya yang merupakan seorang jurutera.
Dalam perkembangan sama, Sinar Harian menghubungi Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar serta Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail pada Selasa untuk mendapatkan pandangan beliau berkenaan masalah yang berlaku di pangsapuri terbabit.
Rodziah berkata, pihaknya telah menerima aduan tersebut dan menggesa syarikat pemaju bagi pangsapuri terbabit untuk mengambil tindakan pantas bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
"Saya telah menerima aduan ini dan dah arahkan syarikat pemaju terbabit untuk mengambil tindakan segera.
"Bagaimanapun, perjumpaan bersama pemilik-pemilik unit pangsapuri tersebut akan dijadualkan dalam masa terdekat,” katanya.