PASIR MAS - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan sumber bekalan makanan negara masih cukup untuk menampung keperluan rakyat sepanjang sambutan Hari Raya Adilfitri dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang berjalan ketika ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pengguna dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik memandangkan situasi ketika ini masih terkawal.
"Setakat ini pihak kami (MAFI) masih belum menerima sebarang aduan berkaitan dengan masalah kekurangan bekalan makanan di pasaran," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Che Abdullah menyampaikan sumbangan Tabung Bantuan Bencana Banjir Padi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menerusi MAFI Prihatin secara pandu lalu di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Sepat, Tendong, di sini pada Selasa.
Hadir sama Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris.
Menurut Che Abdullah, MAFI kini sedang berusaha keras memastikan bekalan sentiasa cukup dengan memperkasakan rantaian pergerakan di peringkat pengeluaran bagi memastikan ia sampai terus kepada pengguna tanpa masalah.
Beliau berkata, MAFI turut menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan barangan keperluan dijual pada harga terkawal.
Ahli Parlimen Tumpat itu berkata, MAFI mahu semua barangan makanan dijual dengan tidak melebihi harga siling sebagaimana ditetapkan oleh kerajaan.
Che Abdullah berkata, pihaknya mahu rakyat menikmati bekalan makanan pada harga yang stabil dan sentiasa mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat.
"Hal ini kerana semua keperluan rakyat telah disediakan sebaik mungkin oleh kerajaan," katanya.