SUDAH terang lagi bersuluh bahawa Israel sekutu paling disayangi Amerika Syarikat (AS).
Ini kerana, segala tindak-tanduk negara haram itu di bumi Palestin hanya dipandang sebelah mata oleh pentadbiran Presiden Joe Biden.
Ini dibuktikan dengan kenyataan retorik AS berhubung keganasan di pekarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang seolah-olah menggambarkan orang Palestin sebagai pencetus masalah.
Kenyataan yang meminta Israel dan Palestin duduk semeja bagi mengendurkan ketegangan seolah-olah merestui kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
Malah, pentadbiran Biden sengaja mengubah naratif pertempuran di al-Aqsa dengan melabelkan sebagai konfrontasi kedua-dua pihak berbanding menggelarnya sebagai jenayah aparteid oleh Israel.
Bagi rakyat Palestin, kenyataan AS itu menggalakkan lagi penindasan tentera Israel yang berlanjutan sejak awal Ramadan lalu.
Sepatutnya, AS sebagai jaguh hak asasi manusia dunia mengutuk keras penindasan Israel yang dilihat oleh komuniti antarabangsa sebagai jenayah perang ke atas umat Islam Palestin.
Tetapi, sehingga kini AS masih gagal mengambil sebarang tindakan konkrit bagi menghentikan kegilaan Zionis.
Pendekatan AS amat berbeza jika melibatkan negara-negara tidak disukainya seperti China, Rusia, Venezuela dan Korea Utara.
Pantang bagi Washington mendengar berlakunya pelanggaran hak asasi di negara-negara ini. Pasti ada hukuman dan sekatan dikenakan AS.
Tetapi isu keganasan dan ketidakadilan ke atas rakyat Palestin hanya dibiarkan begitu sahaja.
Apa pun, AS memang menganggap Israel sebagai anak emasnya selepas mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Menguatkan lagi dakwaan, AS membantah sekeras-kerasnya tuduhan jenayah perang Israel di Palestin.
Bukan rahsia lagi AS menyokong secara sistemik negara haram Yahudi kerana ia secara terang-terangan mengabaikan pelanggaran dan penindasan Israel.