PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menafikan ada unsur pilih kasih dalam pemilihan pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan depan.
Menurut Cheng Hoe, kesemua 25 pemain yang dipanggil pada kempen kelayakan tersebut sudah dipantau selain memenuhi kriteria yang ditetapkan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya.
"Setiap orang ada pandangan dia sendiri mengenai seseorang pemain itu. Memang saya tahu ada orang akan bandingkan pemain lain dengan skuad yang telah saya pilih ini.
"Tetapi barisan jurulatih pasukan kebangsaan dah buat analisis serta pemantauan terhadap 25 pemain. Mereka yang dipanggil boleh memberikan sesuatu kepada pasukan buat masa ini.
"Ada orang kata macam anak kesayangan dan sebagainya. Tiada istilah itu kerana pemilihan berdasarkan pemain-pemain yang mampu memberikan persembahan terbaik kepada pasukan kebangsaan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Pada Isnin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan senarai 25 pemain yang akan menggalas misi Harimau Malaya pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di UAE.
Namun, keputusan pemilihan tersebut mendapat kritikan daripada sesetengah pihak yang menyifatkan pemain yang dipanggil seperti pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid tidak mendapat minit bermain yang banyak bersama kelabnya.
Malah, tiada seorang pun kelibat pemain Terengganu FC (TFC) yang sedang berada pada tahap terbaik seperti Mohamad Hakimi Abdullah mengundang tanda tanya sebahagian penyokong bola sepak tempatan.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe menegaskan bahawa pengalaman beraksi bersama Harimau Malaya sebelum ini juga menjadi antara kriteria utama dalam pemilihan pemain kali ini.
"Mana-mana jurulatih dalam dunia ini sudah tentu mahu pemain yang bagus dan meraih keputusan yang positif. Saya tidak pilih pemain itu contohnya datang daripada kelab mana asalkan mereka mampu memberikan persembahan terbaik.
"Pengalaman pernah bermain bersama Harimau Malaya antara menjadi kriteria pemilihan kami. Tetapi, kalau selepas kempen ini berakhir dan pemain tidak menyerlah, kami akan beri peluang kepada pemain lain.
"Seperti yang saya selalu katakan sebelum ini, pintu sentiasa terbuka buat semua pemain. Tetapi buat masa ini kita fokus dulu untuk kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023,” ujarnya.