Pembelian secara dalam talian pilihan terbaik semasa PKP

Iklan
Gambar dari kiri: Haziq, Izaireen, Syafiq

SHAH ALAM - Pengguna menyifatkan pembelian persiapan sambutan Aidilfitri secara online adalah lebih selamat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Izaireen Halil, 38, berkata, dalam keadaan kes Covid-19 semakin meningkat ini, dia merasakan pembelian secara online adalah pilihan terbaik kerana tidak perlu risau tentang pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Iklan
Iklan

"Walaupun kita beraya dalam PKP, itu bukan alasan untuk tidak membeli baju raya untuk keluarga kerana pembelian online dapat dilakukan. Suasana raya itu kita yang bina sendiri jadi ia bukan penghalang,” katanya kepada Sinar Harian.

Izaireen yang merupakan seorang suri rumah berkata, pembelian secara online juga dapat menjimatkan masa, kos dan tenaga berbanding pembelian secara konvensional.

Iklan

"Sejak tahu platform e-dagang, saya memang berbelanja secara online sahaja kerana ia lebih murah dan dapat menjimatkan masa di mana saya boleh membeli di mana sahaja pada bila bila masa.

Haziq Ahmad, 20, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), berkata, kelebihan yang diperolehi ketika melakukan pembelian online adalah promosi yang menguntungkan pembeli.

Iklan

"Pembelian online sangat menjimatkan kerana sering mengadakan promosi sehingga lebih 50 peratus pada tarikh-tarikh yang tertentu.

"Ini tidak termasuk baucar yang boleh kita gunakan di samping kos penghantaran yang murah berbanding kos pengangkutan untuk pergi sendiri membeli barangan yang dikehendaki," katanya.

Syafiq Zulkifli, 25, pereka grafik, berpendapat bahawa pembelian secara online adalah pilihan terbaik untuk memilih barangan yang sukar didapati atau berada di luar negara.

"Saya penggemar barangan dari luar negara seperti baju dan kasut yang agak sukar didapati di Malaysia.

"Walaupun mempunyai kos penghantaran yang lebih tinggi berbanding barangan lokal, harga yang ditawarkan melalui pembelian online jauh lebih murah daripada harga di kedai yang menjual barangan dari luar negara," katanya.