SHAH ALAM - Di sebalik keghairahan melakukan pembelian online sempena musim perayaan ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengingatkan orang ramai supaya tidak termasuk jerat scammer.
Ketua Aktivitis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pengguna perlu bijak mengenal pasti peniaga yang diyakini menerusi platform online sebelum memuktamadkan sebarang pembelian.
"Pembelian depan mata pun ramai yang tertipu, inikan pula online, kedai pun tak ada. Jadi macam mana?
"Di sebalik obses rakyat Malaysia membeli menggunakan platform online, orang ramai perlu lebih berhati-hati dan berani menggunakan hak pengguna sekiranya tertipu,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Nadzim berkata, antara penipuan jual beli online yang sering berlaku termasuklah mutu kualiti produk yang tidak sama seperti diiklankan, selain pengguna tidak menerima barangan dijanjikan selepas selesai proses transaksi wang.
"Budaya seperti ini yang kita risaukan. Asalkan tak kena tangkap kita lihat makin ramai yang makin berani menjadi penipu. Ada juga yang dikesan hanya mula menipu selepas berjaya meyakinkan pelanggan pada mulanya. Ini sesuatu yang tidak betul.
"Jadi, kita harus mengamalkan etika dan integriti yang tinggi dalam kalangan masyarakat bagi menghindari kejadian sebegini,” katanya.
Menurut Nadzim, pengguna juga dinasihatkan agar memanfaatkan hak masing-masing jika diperdaya peniaga online termasuk mendesak pemulangan bayaran semula (refund) atau merujuk kes kepada Tribunal Tuntutan Pengguna.
"Pengguna perlu lebih berwaspada kerana risikonya lebih tinggi jika melakukan pembelian online, manakala kepada peniaga tidak bertanggungjawab ini, sudah-sudahlah menipu pengguna,” tegasnya.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dalam sidang Parlimen pada 17 Ogos tahun lalu mendedahkan penipuan pembelian dalam talian atau e-dagang mencatatkan aduan penipuan tertinggi iaitu 2,500 kes membabitkan jumlah kerugian RM17 juta sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kes kedua tertinggi direkodkan dalam tempoh 18 Mac hingga 4 Ogos lalu itu pula adalah penipuan bagi pinjaman tidak wujud dengan 1,582 kes (RM18 juta) manakala Macau Scam menyaksikan kerugian RM50 juta dengan 1,001 kes.
Sementara itu, Love Scam dan tipu khidmat pesanan ringkas (SMS) pula masing-masing merekodkan 481 kes (kerugian RM18 juta) dan 91 kes atau kerugian RM800,000.
Pada Isnin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tinjauan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mendapati orang ramai lebih gemar membeli-belah dalam talian sewaktu pelaksanaan PKP 2.0.
Tinjauan itu mendedahkan bahawa 57.74 peratus responden mengaku berbelanja lebih secara dalam talian selepas kerajaan melaksanakan pusingan kedua PKP tahun ini berbanding hanya 19.23 peratus sebelum itu.
Sebanyak 62 peratus pula lebih suka melakukan transaksi dalam talian.