KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia dinasihatkan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan agar bersama dapat memerangi penularan wabak Covid-19.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, meskipun sambutan pada tahun ini disambut dalam suasana yang sederhana tetapi beliau yakin akan ketabahan rakyat Malaysia bersama memerangi penularan pandemik itu.
Iklan
Iklan
"Kata kunci di musim perayaan ini adalah ‘pematuhan’. Kita mesti melindungi kesihatan diri kita, keluarga tersayang dan kita semua. Patuhi undang-undang, patuhi SOP dan amalkan tertib penjagaan kesihatan yang berkesan,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Mohamed Azmin meminta rakyat Malaysia supaya terus bersatu dalam semangat persaudaraan dan berdiri sebahu dengan kekuatan dan keyakinan sebagai umat yang diberkati oleh ALLAH SWT agar dapat menghadapi cabaran yang mendatang dengan tekun, tekad dan keinginan untuk berjaya.
Hanya melalui kesatuan dan perpaduan serta perkongsian satu matlamat sebagai sebuah negara, kata beliau, Malaysia dapat mendaulatkan kemelut menjadi kemungkinan, dan kegagalan menghasilkan kejayaan.
"Akhir kata, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam dari seluruh lapisan masyarakat. Menjadi doa dan harapan kita agar seluruh rakyat bersatu hati, membulatkan tekad dan membingkai muafakat agar cahaya kejayaan menyinar di Aidilfitri,” katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan