Darurat wajib dilakukan untuk tangani Covid-19: Abdul Hadi

Iklan
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan darurat dalam menangani penularan wabak pandemik Covid-19 wajib dilaksanakan oleh pihak kerajaan yang memerintah bagi menjaga nyawa rakyat dan perjalanan kehidupan mereka ketika musim yang sangat mencabar.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tujuan pelaksanaan itu bagi mengekang wabak yang mengancam masyarakat, keselamatan nyawa manusia, kehidupan, keluarga dan kegiatan harian dalam semua urusan.

Iklan
Iklan

"Perisytiharan darurat yang dilaksanakan hari ini merupakan satu tindakan proaktif dalam menangani keadaan yang semakin gawat.

"Hari ini sudah ada negara yang menghadapi penularan wabak secara tidak terkawal, sehingga mengalami situasi kekurangan peralatan dan anggota barisan hadapan serta jumlah angka kes jangkitan yang meningkat.

Iklan

"Maka kerajaan mengambil langkah yang pantas bermula daripada persediaan peralatan dan anggota yang mencukupi, termasuklah persediaan anggota sokongan yang perlu ditambah dan dilatih,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Rabu.

Menurut Abdul Hadi, peruntukan kewangan darurat juga wajib disediakan secukupnya khusus bagi menampung kos perbelanjaan untuk kegunaan barisan hadapan, anggota perubatan, keselamatan, keamanan dan segala agensi sokongan yang lain.

Iklan

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai pelaksanaan darurat Ahli Parlimen Marang itu berkata, perlindungan melalui undang-undang yang tegas terhadap pengacau tugas barisan hadapan pada masa darurat ini hendaklah digubal dan tindakan yang tegas dikenakan terhadap mana-mana pengacau yang boleh melemahkan semangat barisan hadapan.

"Pasukan barisan hadapan ialah golongan yang paling banyak mengorbankan diri, tenaga, masa dan meninggalkan keluarga serta paling terdedah kepada bahaya.

"Namun, mereka yang bertindak menjadi makhluk perosak, hanyalah mencari kesalahan untuk memprovokasi golongan bodoh dan lemah akal yang berkeliaran dalam masyarakat.

"Golongan ini hendaklah diburu di mana sahaja tempat persembunyian mereka dan dari mana sahaja datangnya,” katanya.