Berdepan 'musuh ghaib', anggota bertugas di SJR perlu berhati-hati

Iklan
Anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya sepanjang musim Aidilfitri dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu berhati-hati kerana terdedah dengan virus Covid-19. - Foto Bernama

KANGAR - Pesara polis di negeri ini menasihati petugas barisan hadapan khususnya anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) sepanjang musim Aidilfitri dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar berhati-hati kerana terdedah dengan virus Covid-19.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Skuad 69 Malaysia Cawangan Perlis, Deputi Superintenden (B) Hassan Othman berkata, walaupun tugas di SJR nampak mudah pada pandangan umum, hakikatnya ia lebih berbahaya daripada menghadapi penjenayah kerana virus Covid-19 tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Iklan
Iklan

"Saya harap anggota polis yang ditugaskan menjaga SJR sepanjang tempoh PKP yang bermula hari ini lebih berhati-hati dan menjaga prosedur operasi standard (SOP) agar tidak terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19,” kata pesara polis berusia 72 tahun itu kepada Bernama di sini pada Rabu.

Menceritakan pengalamannya pernah berkhidmat selama 39 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hassan berkata, beliau pernah berdepan dengan pelbagai penjenayah termasuk penyeludup dan penculik namun, cabaran anggota polis di SJR lebih besar dan berisiko kerana mereka berdepan dengan musuh yang tidak nampak iaitu virus.

Iklan

Sarjan (B) Abdul Halim Puteh, 71, dari Simpang Empat dekat sini pula yang putus kaki akibat terpijak jerangkap samar komunis di Pahang semasa berkhidmat dengan pasukan Komando Vet 69 PDRM satu ketika dahulu berkata, pada masa itu, beliau berhadapan dengan musuh yang boleh dilihat.

"Namun, para petugas barisan hadapan di SJR sekarang perlu lebih berhati-hati kerana mereka berdepan dengan ‘musuh ghaib’ yang tidak boleh dilihat dengan mata tetapi bahayanya lebih besar sehingga membawa maut iaitu virus Covid-19,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Persatuan Kebajikan Skuad 69, Sarjan Yahya Dali, 71, dari Beseri turut menasihati anggota polis yang terpaksa bertugas di pagi raya agar tabah dan jangan bersedih kerana tidak dapat bersama keluarga tercinta.

"Pada pendapat saya pengorbanan anggota polis yang bertugas di SJR lebih besar daripada kami kerana mereka sanggup pertaruhkan bukan hanya nyawa diri sendiri malah juga nyawa keluarga berdepan dengan risiko jangkitan Covid-19,” katanya,

Beliau yang berkhidmat 37 tahun dalam PDRM bersama Pasukan Polis Hutan dan Cawangan Tugas Am PDRM pernah bertempur dengan komunis, tetapi mengakui musuh sekarang iaitu virus Covid-19 lebih bahaya daripada komunis. - Bernama