358 kenderaan diarah patah balik: Ayob Khan

Iklan
Ayob Khan melakukan tinjauan keadaan pematuhan SOP sempena Aidilfitri di Pasar Awam Larkin, Johor Bahru pada Rabu.

JOHOR BAHRU - Sebanyak 358 kenderaan yang berhasrat untuk merentas daerah dan negeri ini diarahkan berpatah balik ke destinasi asal pada bulan ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua kenderaan tersebut diarahkan berpatah balik ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di beberapa lokasi sejak awal bulan ini hingga Isnin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam tempoh yang sama juga, polis Johor mengeluarkan 129 kompaun terhadap individu terbabit.

"Untuk semalam (Selasa) sahaja, kita membuat pemeriksaan ke atas 28,364 pelbagai jenis kenderaan dan 65 daripadanya telah diarahkan berpatah balik kerana tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri serta daerah.

Iklan

"Malah kita juga mendapati pemilik kenderaan berkenaan menggunakan surat kebenaran rentas negeri yang sudah tamat tempoh," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau keadaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Larkin di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, pihak polis akan memperketatkan lagi penelitian terhadap permohonan rentas negeri dan daerah supaya tidak ada individu atau pihak yang mengambil kesempatan untuk menyalahgunakan permohonan itu.

Iklan

Katanya, daerah Segamat menjadi lubuk laluan tikus digunakan pengguna jalan raya yang tidak mempunyai kebenaran polis bagi tujuan rentas negeri dan daerah sempena Aidilitri ini.

"Justeru kita akan mempertingkat kawalan pemantauan di laluan tikus tersebut bagi memastikan tidak ada yang dapat meloloskan diri dengan menambah SJR.

"Selain laluan tikus, kita juga beri penekanan kepada laluan laut sebab itu juga kita adakan Ops Benteng bagi mengekang pergerakan sama ada nak masuk atau keluar dari negeri ini," katanya.

Mengulas lanjut, Ayob berkata, sehingga hari ini belum ada individu yang ditahan kerana menggunakan laluan tikus tersebut selain memaklumkan penambahan SJR turut dilakukan di beberapa lokasi lebuh raya, sempadan negeri dan Jalan Persekutuan.

Beliau berkata, seramai 1,212 pegawai dan anggota polis Johor telah dikerahkan untuk bertugas pada perayaan Aidilfitri kali ini dengan melibatkan 840 daripada mereka ditugaskan menjaga SJR, 269 pasukan pemantauan manakala 171 pasukan peninjau kenderaan pelbagai guna (MPV).