SHAH ALAM - Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendesak kerajaan mengembalikan bantuan RM450 bagi golongan bujang.
Katanya, ini kerana berdasarkan Belanjawan 2019 sebanyak RM316.55 bilion telah diperuntukkan kerajaan PH dan jumlahnya jauh lebih besar berbanding RM282.25 bilion pada 2018 yang dibuat BN.
Menurutnya, berdasarkan anggaran hasil negara bagi 2019 dengan tidak mengambil kira RM30 bilion dividen khas Petronas, ia hampir sama dengan kutipan pada 2018 iaitu sekitar RM230 bilion.
"Kerajaan PH tidak perlu berbohong lagi kononnya kedudukan kewangan negara dalam keadaan kritikal.
"Jadi tidak timbul langsung kerajaan tiada duit. Lagipun, sampai bila kerajaan PH nak guna alasan yang sama. Rakyat pun dah bosan," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Orang bujang dapat BSH RM100
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini mengumumkan Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM100 untuk golongan bujang yang belum berkahwin dan yang bekerja tetapi berpendapatan rendah.
Beliau berkata, sebagai permulaan, pembayaran RM100 akan disalurkan kepada setiap individu yang terdaftar di bawah kategori bujang dalam pangkalan data BSH 2018.
Jelasnya, berhubung dengan bayaran selanjutnya, beliau berkata, kadar bantuan BSH bagi 2019 untuk golongan bujang akan dikaji semula dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan.
Mengulas perkara tersebut, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan tidak perlu membazirkan masa atau sumber untuk membuat kajian baharu.
"Kita memang tahu kerajaan PH adalah kerajaan uji kaji, kerajaan eksperimen atau kerajaan masih dalam kajian, tetapi bagi bantuan BR1M kategori bujang ini, ia terbukti membantu mereka yang memerlukan sejak mula diperkenalkan.
"Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Presiden Pakatan Harapan) sendiri pastinya lebih tahu tentang perkara ini kerana beliau sendiri pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menangani kenaikan kos sara hidup pada 2014 ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri. Jadi rasanya tidak perlu lagi dibuat kajian tentang perkara ini," katanya.