KOTA BHARU - Peniaga colek buah yang dikompaun RM50,000 dua minggu lalu mengakui masih trauma dan tidak membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang disambut esok.
Peniaga berkenaan, Mohd Azizi Mohd Nor, 42, dan isterinya, Nik Nawati Nik Lah, 38, juga bingung memikirkan bagaimana untuk membayar kompaun yang dikenakan kepada mereka.
Menurutnya, sehingga kini pihaknya masih belum pasti jumlah sebenar yang perlu dibayar selepas membuat permohonan pengurangan bayaran sebelum ini.
"Buat masa sekarang kami tidak tahu berapa jumlah kena bayar. Raya pun sekadar sahaja sebab kami masih lagi trauma dan tertekan dengan isu ini.
"Anak-anak pun faham dan mereka tidak kisah memandangkan kali ini kita beraya dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi semua ambil mudah saja," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Mohd Azizi menerima kunjungan ahli perniagaan, Datuk Seri Sunny Ung di kediamannya di Kampung Chekok Tengah di sini pada Rabu.
Dalam kunjungan tersebut, Datuk Seri Sunny Ung turut memberikan sumbangan hari raya dan juga perbelanjaan untuk membeli pakaian hari raya kepada keluarga berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd Azizi berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihaknya yang membantunya dan keluarga dalam menyelesaikan isu tersebut.
Sementara itu, Sunny berkata, beliau berharap nilai kompaun tersebut boleh dikurangkan supaya ia tidak akan membebankan peniaga yang terlibat.
"Saya berharap kerajaan dapat pertimbangkan jumlah kompaun dikenakan supaya Mohd Azizi dan isteri dapat memulakan kehidupan selepas hari raya ini," katanya.