ALOR SETAR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan berkaitan video tular memaparkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menghadiri program di sebuah surau di Langkawi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, siasatan akan dilakukan dibawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan/Peraturan 16,Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
"Siasatan dijalankan selepas satu video dimuat naik dalam Facebook 'Najib Razak' yang memaparkan Ahli Parlimen Langkawi yang tidak mengimbas MySejahtera dan suhu ketika hadir di satu majlis.
"Semakan mendapati ia berlaku pada waktu pagi 8 Mei lalu di Surau Raudhatul Jannah, Kuala Teriang, Langkawi di sini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, tular di media sosial memaparkan video menunjukkan bekas Perdana Menteri itu melanggar SOP ketika menghadiri satu majlis di Langkawi.
Susulan kejadian itu, Dr Mahathir memohon maaf atas tindakannya yang dikatakan telah melanggar SOP apabila tidak mengambil suhu badan sebelum masuk ke sebuah surau semasa tempoh PKP di Langkawi pada Sabtu lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Saya mohon maaf kerana langgar SOP, kata Tun M