SHAH ALAM - Majikan dan pekerja di seluruh negara diminta supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan termasuklah melaksanakan dasar bekerja dari rumah untuk mengurangkan kesesakan di tempat kerja.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun kerajaan tidak menutup sektor ekonomi negara, namun perniagaan perlu mematuhi SOP yang ketat dalam menjalankan operasi mereka.
Iklan
Iklan
Menurutnya, keputusan untuk tidak menutup sektor ekonomi itu adalah bagi mengelakkan kerugian yang bakal ditanggung oleh negara yang tentunya pada sama akan turut menyusahkan rakyat.
"Kita belajar daripada pengalaman lalu jika sektor ekonomi ditutup negara kehilangan hampir RM2.4 bilion sehari dan kadar pengangguran meningkat.
"Oleh itu, pada kali ini kerajaan tidak menutup sektor ekonomi. Namun, pemantauan akan dibuat dengan lebih ketat ke atas premis-premis perniagaan, kilang-kilang dan asrama tempat tinggal pekerja untuk mengelakkan jangkitan berlaku dalam sektor-sektor berkaitan.
"Jadi, saya menyeru kepada majikan dan pekerja supaya sentiasa mematuhi SOP di tempat kerja dan melaksanakan dasar bekerja dari rumah untuk mengurangkan kesesakan di tempat kerja,” katanya ketika perutusan khas Perdana Menteri pada Rabu.
Pada masa sama, Muhyiddin turut melahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan negara atas khidmat bakti dan penat lelah serta pengorbanan mereka yang bekerja siang dan malam untuk memastikan kesejahteraan serta keselamatan seluruh rakyat Malaysia.