Ahli fisiologi guna basikal jadi penghantar makanan

Iklan
Ahli Fisiologi di sebuah hospital swasta, Thor Al Wayne,26, menggunakan basikal bukit atau 'mountain bike' milik rakannya dan menempuh perjalanan antara 10 KM hingga 15 KM setiap hari sehingga tengah malam untuk membuat penghantaran makanan di kawasan George Town dan Bayan Lepas. - Foto Bernama

GEORGETOWN - Pada waktu siang, Thor Al Wayne, 26, mengenakan kot putih dan menjalankan tugas sebagai ahli fisiologi di sebuah hospital swasta.

Sebelah malamnya pula, beliau menukar pakaian kepada baju seragam berwarna kelabu dan merah jambu, menetapkan sistem penjejakan dalam telefon bimbitnya dan bersedia untuk membuat penghantaran makanan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, berbeza dengan kebanyakan rakan penghantar FoodPanda yang lain, beliau menggunakan basikal bukit atau mountain bike milik rakannya dan menempuh perjalanan antara 10 kilometer (km) hingga 15km setiap hari hingga tengah malam untuk membuat penghantaran di kawasan seperti Georgetown dan Bayan Lepas.

"Anda biasanya tidak dibayar untuk kekal cergenuhas, tetapi beginilah saya,” guraunya semasa temu bual dengan Bernama di rumah keluarganya di Jalan Zoo, Ayer Itam, dekat sini.

Iklan

Ini menjadi rutin harian Thor sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Pulau Pinang pada Januari lepas.

Beliau berkata, PKP kali kedua itu telah menjejaskan perniagaannya di sekolah latihan renang miliknya dan kehilangan 75 peratus daripada pendapatan.

Iklan

"Sebelum Covid-19, sekolah latihan itu mempunyai kira-kira 50 pelajar, tetapi apabila wabak itu melanda negara, terdapat kurang daripada 20 pelajar semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hingga sekarang. Ibu bapa takut untuk membawa anak mereka ke kelas renang,” katanya.

Beliau berkata, bagi menangani komitmen kewangan bulanannya, beliau mendaftarkan diri untuk bekerja sebagai rakan penghantar.

"Setakat ini, kedua-dua pekerjaan saya sangat membantu menyelesaikan komitmen bulanan, terutama ketika Ramadan ini apabila terdapat peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kami,” katanya dan menjelaskan bahawa beliau juga membuat penghantaran makanan antara 2 pagi dan 4 pagi untuk sahur.

Sementara itu, Thor berkata, antara cabaran utama yang dihadapinya sebagai penghantar makanan yang menunggang basikal adalah cuaca hujan, keselamatan basikal dan membuat penghantaran di rumah pangsa.

Beliau berkata, apabila membuat penghantaran di rumah pangsa, beliau perlu membawa basikalnya bersama menaiki lif kerana bimbang basikal akan dicuri.

"Ada juga rumah pangsa yang lifnya rosak atau tiada lif langsung. Pernah saya perlu menaiki tangga lebih 10 tingkat dengan membawa sekali basikal untuk membuat penghantaran,” katanya.

Beliau berharap dapat memiliki lesen motosikal pada masa akan datang untuk memudahkannya membuat perkhidmatan penghantaran. - Bernama