Tahun kedua umat Islam rai Syawal penuh sederhana, patuh SOP PKP

Iklan
Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni mengimamkan solat sunat Aidilfitri dengan mematuhi SOP di Masjid Negara hari ini. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Alah bisa, tegal biasa - itu pepatah menggambarkan umat Islam di negara ini menyambut ketibaan 1 Syawal dalam kebiasaan baharu dua tahun berturut-turut, dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) susulan ancaman pandemik Covid-19.

Aidilfitri yang kebiasaannya disambut meriah, kali ini diraikan dengan penuh kesederhanaan dan keinsafan berikutan negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang antaranya perlu mematuhi beberapa larangan termasuk tiada ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur serta mengehadkan bilangan jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau mengikut arahan negeri masing-masing.

Iklan
Iklan

Tinjauan Bernama pagi ini, kelihatan orang ramai lengkap berpakaian baju Melayu mula berkumpul di pekarangan Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan mulai 7 pagi, namun tidak semua dibenarkan memasuki masjid dan diawasi beberapa pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pegawai Pentadbiran Masjid Wilayah Persekutuan Zulkifli Hussain berkata hanya 50 jemaah dibenarkan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid berkenaan dengan pematuhan SOP yang ditetapkan termasuk penjarakan fizikal dan pemeriksaan suhu badan.

Iklan

Di PUTRAJAYA, orang ramai dilihat beratur di pintu masuk Masjid Putra seawal 6.30 pagi namun terpaksa diminta beredar oleh pengawal keselamatan. Penolong Pengarah Kanan Masjid Putra Ahmad Termizi Zainudin berkata pihak Masjid Putra berasa sedih kerana tidak dapat memenuhi hajat jemaah lain ekoran SOP yang menetapkan tidak melebihi 50 orang bagi solat sunat Aidilfitri.

Di PERAK, Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad tiba di Masjid Negeri, Ipoh pada 8.30 pagi untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri mengikut SOP yang ditetapkan dengan jemaah tidak melebihi 50 orang.

Iklan

Sementara itu, penduduk Taman Medan Klebang Restu, lpoh pula menarik perhatian apabila meraikan Aidilfitri dengan menikmati juadah di hadapan pekarangan rumah masing-masing bersama ahli keluarga sambil beramah mesra bersama jiran tetangga walaupun tanpa aktiviti kunjung-mengunjung.

Kemeriahan di kawasan kediaman itu dapat dirasai dengan setiap penduduk dilihat membentang tikar di hadapan rumah selepas mereka menunaikan solat Aidilfitri, dengan mengikut SOP.

Di KEDAH, hanya 20 jemaah dibenarkan berada di dalam Masjid Zahir di Alor Setar manakala beberapa individu kelihatan menunaikan solat sunat hari raya di luar pagar masjid dan tepi jalan raya dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

Tinjauan di beberapa sekatan jalan raya (SJR) di sekitar bandar raya di situ pula mendapati suasana juga lengang dan petugas barisan hadapan terus komited menjalankan tugas masing-masing.

Di JOHOR BAHRU, Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato Onn seperti lazimnya menjadi tumpuan umat Islam untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri, namun kali ini pihak pengurusan masjid hanya membenarkan 1,000 jemaah.

Solat dipimpin oleh Imam 1 Abdullah Embong yang kemudiannya menyampaikan khutbah bertajuk ‘Hiasi Aidilfitri dengan Amalan Yang Mulia’.

Di MELAKA, seramai 1,400 penduduk di sekitar Masjid Al Azim, Bukit Palah di sini tidak melepaskan peluang menunaikan solat sunat Aidilfitri yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dengan pematuhan SOP yang ditetapkan.

Solat sunat Aidilfitri yang dimulakan pada 8.45 pagi, diimamkan oleh Imam Besar Masjid Al-Azim Datuk Mohammad Hashim Al-Hafiz yang membacakan khutbah bertajuk ‘Mensyukuri Nikmat Kemenangan’.

DI NEGERI SEMBILAN, seramai 50 jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, Kuala Pilah, diimamkan oleh imam masjid berkenaan Syammil Izuddin Mohamed Yusoff yang membacakan khutbah Aidilfitri bertajuk 'Kita Masih Boleh Menang'.

Di TERENGGANU, solat sunat Aidilfiti tetap diadakan di seluruh masjid dan surau negeri ini namun terhad kepada 40 jemaah lelaki sahaja, tidak termasuk ahli jawatankuasanya.

Di Masjid Al Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bersama anakanda baginda Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua'az berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Turut mengiringi keluarga diraja itu Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan solat sunat itu diimamkan Mufti Terengganu Prof Madya Dr Mohammad Sabri Haron.

Di PULAU PINANG, buat pertama kali, solat sunat Aidilfitri dibuat secara penggiliran mengikut kehadiran yang ditetapkan dengan pertama bermula 8.30 pagi hingga 9.15 pagi diikuti sesi kedua 9.45 pagi hingga 10.30 pagi dan sesi seterusnya pada 11 pagi hingga 11.45 pagi di surau dan masjid.

Yang Dipertua Negeri (YDP) Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak hadir pada 8.50 pagi di Masjid Negeri Pulau Pinang untuk menunaikan solat diiringi isteri, Toh Puan Khadijah Mohd Nor. Tinjauan di beberapa tanah perkubuhan Islam di sini kelihatan sunyi tanpa kelihatan waris menziarahi kubur.

Sementara itu, di PAHANG, Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi dan Tanah Perkuburan Islam Hutan Setali di Kuantan, lengang tanpa pengunjung walaupun pintu pagar ke tanah perkuburan itu tidak berkunci begitu juga di beberapa masjid di sekitar Kuantan dilihat pengurusan masjid mematuhi SOP ditetapkan berhubung had jemaah bagi solat sunat Aidilfitri selain terus menutup pintu pagar masuk sebaik sahaja bilangan jemaah sudah mencukupi.

Di SELANGOR, seramai 50 jemaah menghadiri solat sunat Aidilfitri berserta bacaan doa Qunut Nazilah bagi mengekang Covid-19 serta perlindungan bagi rakyat Palestin di Masjid An-Naim, Jalan Kebun, Shah Alam.

Di SABAH, tinjauan Bernama di Masjid Bandaraya dan Masjid Negeri Sabah menyaksikan umat Islam mematuhi SOP menunaikan solat sunat Aidilfitri manakala keadaan di pusat bandar raya Kota Kinabalu, khususnya pusat-pusat beli-belah juga lengang, hanya beberapa individu kelihatan berada di kawasan berkenaan.

Di SARAWAK, solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran ahli jemaah yang terhad kepada 50 hingga 1,500 orang mengikut kapasiti.

Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menunaikan solat sunat Aidilfitri berjemaah bersama sejumlah kecil kenamaan negeri di Masjid Jamek di Petra Jaya di sini. - Bernama