ARAU - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu bertindak lebih tegas bagi melindungi rakyat Palestin yang terus dizalimi oleh rejim Israel di bumi sendiri.
Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, PBB hendaklah mengguna kuasa yang ada pada badan dunia itu bagi menghentikan tindakan ketidakberperikemanusiaan Israel itu.
"Amat mendukacitakan apabila PBB gagal untuk mengeluarkan satu kenyataan dan tindakan yang lebih tegas.
"Tahniah kepada rakyat Palestin kerana mereka terus bersemangat dan tidak berganjak walaupun dizalimi serta mereka telah membuktikan kepada dunia bahawa mereka tidak tunduk pada kezaliman dan kejahatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas solat sunat Aidilfitri di Dataran Istiadat Perkarangan Istana Arau di sini hari ini.
Pada Isnin, serangan udara yang dilancarkan oleh tentera rejim Israel di Semenanjung Gaza telah mengakibatkan kematian dan kecederaan terhadap rakyat Palestin termasuk kanak-kanak.
ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk Palestin sengsara angkara serangan Israel
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Dataran Istiadat, Perkarangan Istana Arau bersama rakyat kariah Arau dengan mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta anakanda baginda Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.
Turut hadir Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan barisan Exco Perlis.
Mohd Asri berkata Perlis mempunyai hubungan yang baik dengan imam Masjid al-Aqsa dan Raja Muda pernah berkunjung ke masjid berkenaan bagi menyampaikan bantuan. - Bernama