ALOR SETAR - Sebanyak 4,725 daripada 11,561 permohonan untuk merentas daerah dan negeri ditolak oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar bermula 1 Mei hingga Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, alasan tidak kritikal selain tidak memenuhi kriteria seperti yang dinyatakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjadi sebab utama permohonan tersebut ditolak.
Menurutnya, dalam perkembangan sama, sebanyak 267 kenderaan juga telah diarah patah balik kerana tidak mempunyai surat kebenaran daripada pihak polis untuk merentas daerah ini.
"Tiada kompaun yang dikeluarkan oleh polis di daerah Kota Setar setakat ini bagi kesalahan merentas daerah termasuk cubaannya untuk merentas negeri setakat ini.
"Bagi daerah Kota Setar, kita tidak mendirikan apa-apa sekatan bagi mana-mana jalan tikus tetapi kita ada kaedah lain, (iaitu) untuk mereka yang cuba untuk menggunakan jalan raya kita (akan) menggunakan 'snap check', jika mereka tidak bernasib dan berjumpa pasukan-pasukan pemantau kita dan mereka langgar peraturan, tindakan akan diambil,"katanya pada sidang akhbar pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan di Sekatan Jalanraya (SJR) Tol Alor Setar Utara, Alor Setar, dekat sini.
Mengulas lanjut, Ahmad Shukri berkata, pihaknya juga akan mempertingkatkan kawasan di kawasan sempadan daerah termasuk laluan-laluan tikus selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung hampir dua minggu di Kota Setar.
Menurutnya, tambahan 40 peratus anggota dilakukan pada musim perayaan ini terutamanya dalam mengawal tiga SJR di Kota Setar iaitu Tol Alor Setar Utara, Tol Alor Setar Selatan dan Kota Sarang Semut.
"Satu hari kita ada tiga 'shift' untuk menjaga SJR ini dan setiap 'shift' melibatkan lima anggota polis dan dua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memeriksa kira-kira 15,000 kenderaan yang memasuki daerah Kota Setar setiap hari," ujarnya.