Chong Wei kongsi kisah menyentuh hati Aidilfitri tahun ini

Iklan
Poster ucapan bersempena Hari Raya Aidilfitri yang dikongsikan oleh Chong Wei pada Khamis.

JAGUH badminton Negara, Datuk Lee Chong Wei kongsi kisah menyentuh hati yang berlaku pada keluarganya ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Menerusi hantaran di Instagramnya pada Rabu, Chong Wei menceritakan kisah sedih pembantu rumahnya yang dipanggil Ani kerana sudah dua tahun tidak dapat pulang beraya ke Indonesia disebabkan Covid-19.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau secara tidak sengaja baru-baru ini terdengar tangisan Ani di dapur rumahnya kerana terlalu rindukan anak dan keluarganya yang berada di kampung.

"Ini cerita minggu lepas. Badan mula rasa letih. Sepanjang hari di depan komputer melayan mesyuarat atas talian. Terkejut tengok jam di dinding sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Melangkahlah keluar dari bilik kerja yang ditempatkan sebelah dapur rumah. Ruang besar dah pun gelap.

Iklan

"Sambil berjalan ke bilik tidur, terdengar suara tangisan sedu-sedu yang tipis. Rasanya dari dapur. Sudah... sambil telan air liur sambil baca-baca dalam hati, slow-slow I jalan dan buka lampu dapur. Terkilan tapi lega apabila didapati bibik keluarga duduk menangis di meja dapur.

"‘Sir sir, sorry. Ani bukan sengaja nak kacau Sir tidur’, Ani memohon maaf di samping terperanjat atas kemunculanku. Telefon bimbit dipegang di tangan. Muka dua darah dagingnya terpapar jelas di kaca telefon. Satu putera, seorang lagi puteri,” ujar Chong Wei yang sudah menganggap Ani sebagai sebahagian daripada keluarganya.

Iklan

Sebelum berlakunya krisis Covid-19, Chong Wei berkata, beliau sememangnya akan memberikan peluang untuk Ani yang disifatkannya sebagai seorang yang sangat baik dan berdedikasi untuk pulang ke kampung bagi beraya bersama keluarga.

Tambah Chong Wei, isterinya juga tidak dapat menahan kesedihan apabila beliau menceritakan mengenai apa yang terpaksa dilalui oleh pembantu rumahnya.

Ekoran daripada itu, Chong Wei kongsikan harapannya agar tahun ini menjadi tahun terakhir kepada semua individu yang terpaksa beraya berjauhan daripada ahli keluarga masing-masing.

"Walaupun tidak senang, tapi kita cuba bersyukur dengan apa yang ada di depan mata. Kami berdoa raya tahun depan, Covid-19 telah pun ditumpaskan. Kami berdoa tahun depan, datuk-datuk dan nenek-nenek boleh peluk ketat anak cucu.

"Berjuadah makanan raya bersama. Bermain mercun bersama. Bergaul mesra bersama. Kami berdoa. Tak lama lagi, bersamalah semua,” ujar Chong Wei.

Pada masa sama, Chong Wei turut mengucapkan selamat hari raya kepada semua umat Islam yang menyambutnya pada tahun ini.

"Menjelang hari yang mulia ini, Chong Wei, Mew Choo sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang menyambutnya.

"Saya sudahi dengan ungkapan seperti tahun-tahun lepas. Mohon maaf ya. Seperti badminton dimulakan, kosong-kosong. Luv-all,” katanya.