Pemain muda pacu kebangkitan Yeop baki saingan Liga Super

Iklan
Khairul Shahril

PERAK FC memberi jaminan mampu memberi saingan dalam baki perlawanan Liga Super selepas kehilangan beberapa pemain tonggak ekoran kemelut kewangan yang melanda skuad The Bos Gaurus itu.

Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed berkata, biarpun mengakui sedikit ralat berikutan kehilangan beberapa pemain utama pasukan itu, beliau yakin skuad berkenaan mampu bangkit semula dengan barisan pemain muda sedia ada.

Iklan
Iklan

"Perak FC sebenarnya mempunyai kelebihan pemain muda yang cukup hebat, biarpun saya agak ralat kerana kehilangan beberapa tonggak tetapi apa pilihan yang kita ada kerana perpindahan ini terbuka.

"Saya percaya kita mampu beri saingan dengan semua pemain yang ada. Kita ada perancangan yang setakat ini masih lagi tidak dapat dikongsikan,” kata Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak itu selepas menyerahkan hadiah Pertandingan Panjut Peringkat DUN Bota 2021 di Kampung Teluk Kepayang di sini.

Iklan

Pada 7 Mei lalu, Perak FC kehilangan kapten pasukan Shahrul Saad dan penyerang naturalisasi Guilherme De Paula yang berhijrah ke Johor Darul Ta'zim (JDT), manakala Kenny Pal Raj serta J Parthiban pula telah memuktamadkan keputusan menyertai KL City FC, Isnin lalu.

Dalam pada itu, Khairul Shahril turut menafikan khabar angin Perak FC akan dibubarkan sebaliknya pihak pengurusan sedang menjalankan usaha dan perancangan bagi menyelamatkan pasukan itu.

Iklan

"Mana mungkin kita bubar Perak FC. Ia bukan sekadar tidak menggembirakan rakyat tetapi menyusahkan banyak pihak termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan pasukan lain yang terlibat sebab semuanya berkait, memang tiada langsung agenda menutup Perak FC.

"Dalam tempoh rehat dua bulan ini, kita akan perbaiki apa yang terkurang cuma masalah kita sebenarnya berkaitan dengan kewangan. Kita masih tidak dapat formula yang baik tapi usaha sedang berjalan,” katanya.