IPOH - Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini menafikan dakwaan bahawa perkhidmatan kesihatan dan rawatan di hospital itu berada pada tahap tenat berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19.
Pengarah HRPB, Dr Abdul Malek Osman berkata, operasi hospital ketika ini berjalan seperti biasa dan terkawal tanpa sebarang situasi membimbangkan.
"Merujuk kepada mesej yang tular di media sosial berkaitan situasi hospital di tahap yang membimbangkan, HRPB ingin memaklumkan bahawa mesej tersebut adalah palsu.
"Keadaan semasa di hospital asih terkawal dan perkhidmatan hospital berjalan lancar seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan penyebaran mesej di WhatsApp kononnya HRPB kini menempatkan lebih daripada 20 pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU).
Menerusi mesej itu, dilaporkan 12 daripadanya berada pada tahap kritikal selain lima unit wad yang ditukarkan kepada wad khusus menempatkan pesakit positif Covid-19 tahap tiga dan empat susulan varian dari Afrika.
Sementara itu, Dr Abdul Malek berkata, masyarakat diingatkan agar tidak menularkan sebarang berita atau maklumat yang tidak sahih seumpama itu.
"Perkara sebegini hanya akan mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan mengurangkan pergerakan ke tempat-tempat awam semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).