PENGENDALI Everton, Carlo Ancelotti optimis skuad kendaliannya itu berpeluang beraksi di pentas Eropah musim depan dengan syarat kesebelasan The Toffees itu dapat memanfaatkan sepenuhnya tiga aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL).
Katanya, ketiga-tiga aksi berkenaan yang dimulai dengan berdepan Sheffield United pada Ahad, Wolverhampton (20 Mei) dan aksi terakhir berdepan juara EPL 2020/21, Manchester City pada 23 Mei.
Malah menurut Ancelotii, selain mengharapkan kemenangan pada ketiga-tiga aksi ini, kita juga mengharapkan agar West Ham dan Tottenham Hotspur keciciran mata pada baki perlawanan masing-masing.
"Saya benar-benar positif tentang perkara ini. Kami ada peluang yang cukup baik dan kami hanya perlu melakukan yang terbaik.
"Seperti yang pernah saya katakan pada awal musim, kelayakan beraksi di pentas Eropah hanya akan ditentukan pada aksi terakhir. Kami mahu berada di sana (saingan Eropah),” katanya.
Everton meraih satu mata yang cukup berharga apabila terikat tanpa jaringan ketika berdepan Aston Villa di Villa Park pada awal pagi Jumaat.
Keputusan berkenaan menyaksikan Everton kini berada pada kedudukan kelapan EPL dengan 56 mata berbanding Aston Villa (49 mata) pada kedudukan kesebelas.
Sementara itu Ancelotti yakin skuad kendaliannya itu mampu menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dalam kelompok enam pasukan teratas setelah menyaksikan aksi hebat yang dipamerkan kesebelasan The Toffees ketika berdepan Aston Villa.
"Kami sebenarnya berazam untuk membawa pulang tiga mata yang cukup penting daripada kunjungan kami ke Villa Park kali ini.
"Namun, kami akui Aston Villa turut beraksi dengan baik pada perlawanan kali ini apabila pemain kami langsung tidak diberikan peluang untuk bergerak bebas.
"Apa lagi yang boleh kami katakan? Walaupun tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan tetapi kami berpuas hati dengan persembahan pemain,” katanya.