GENTING GAZA - Ketibaan Syawal pada Khamis disambut hiba di tengah-tengah konflik yang semakin memuncak antara Israel dan Palestin.
Lebih 100 termasuk 27 kanak-kanak dan 11 wanita Palestin terkorban manakala kira-kira 580 yang lain cedera sejak rejim Zionis kembali melancarkan kempen ketenteraan ke atas Genting Gaza sejak Operasi Penjaga Tembok dilancarkan pada Isnin lalu.
Ketegangan terus meningkat sejak bermula Ramadan susulan insiden pengusiran keluarga Palestin di Baitulmaqdis Timur selain provokatif melampau di Masjid al-Aqsa sehingga mencetuskan pertempuran ganas.
Lebih 1,000 peluru berpandu dan bom dilancarkan ke wilayah Gaza di bawah kempen ketenteraan yang membabitkan 95 peratus serangan udara yang disifatkan sebagai pengeboman terbesar sejak Operasi Perlindungan Sempadan atau Perang Gaza pada 2014.
Sehingga semalam, rejim Zionis terus membedil Genting Gaza dan menyasarkan lebih 700 sasaran milik Hamas termasuk bank pusat dan bangunan unit keselamatan gerakan terbabit.
Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dengan angkuh menyatakan kempen ketenteraan ke atas Hamas akan diteruskan selama tempoh yang diperlukan kononnya untuk mengembalikan keamanan di negara haram tersebut.
Rejim Tel Aviv juga seakan memberi bayangan kemungkinan operasi darat bakal dilancarkan berikutan Menteri Pertahanan, Benny Gantz dilaporkan telah mula memanggil kira-kira 9,000 tentera simpanan.
Kempen ketenteraan secara besar-besaran itu adalah operasi yang keempat sejak konflik Gaza-Israel tercetus pada Disember 2008-Januari 2009, 2012 dan 2014.
Komuniti antarabangsa yang mengikuti perkembangan krisis Israel-Palestin bagaimanapun merayu pihak bertelagah supaya bertenang bagi mengelakkan lebih ramai orang awam tidak berdosa terkorban.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menerusi Twitter menggesa kedua-dua belah pihak supaya meredakan ketegangan dan permusuhan malah beliau mendakwa konflik tersebut hanya akan memburukkan lagi ekstremisme di Asia Barat.
Majlis Keselamatan PBB juga merancang untuk mengadakan mesyuarat terbuka pada akhir minggu ini bagi membincangkan konflik Israel-Palestin tersebut yang kini mendapat perhatian masyarakat dunia sehingga mencetuskan kempen boikot kekejaman rejim Zionis di media sosial. - Agensi