YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga atlet memanah Haziq Kamaruddin yang meninggal dunia pada Jumaat.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda turut berdukacita dan menzahirkan rasa sedih atas pemergian olimpian negara itu serta berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi suasana pilu dalam bulan Syawal.
"Seri Paduka Baginda amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham sebagai atlet negara dan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada dunia sukan tanah air.
"Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama para solihin," demikian menurut kenyataan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemanah negara, Haziq Kamaruddin meninggal dunia
Haziq, 27, yang berasal dari Johor disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang dekat sini pada pagi Jumaat.
Pemanah recurve itu pernah mengharumkan nama negara apabila mencipta banyak kejayaan di peringkat antarabangsa dan pernah beraksi pada dua temasya Sukan Olimpik iaitu pada edisi London 2012 dan Rio 2016.
Allahyarham juga pernah mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas pada Sukan Kejohanan Memanah Asia 2011 di Tehran.
Pada tahun 2013, Allahyarham turut terpilih untuk menerima anugerah Atlet Remaja Terbaik pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) - 100 PLUS 2012. - Bernama