[DIKEMAS KINI] SEMUA pihak diminta menghormati pemergian atlet memanah negara, Haziq Kamaruddin dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kematiannya pada Jumaat.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, andaian dibuat segelintir pihak berhubung kematian pemanah recurve berusia 27 tahun itu adalah sikap amat tidak bertanggungjawab sedangkan atlet berkenaan banyak memberikan sumbangan kepada negara.
"Kita kena hormati perasaan ahli keluarga arwah. Seandainya apa-apa kesimpulan mahu dibuat, tunggu bedah siasat, sebarang maklumat (hasil bedah siasat) akan dikongsikan nanti. Keluarganya reda dan isterinya rasa sedih tapi beliau rasa ini satu fitnah (membuat spekulasi mengenai kematian Haziq).
"Marilah kita menjadi warganegara yang bertanggungjawab. Jika ada yang kita rasa sekarang, rasailah perasaan sedih dan kesedihan keluarga Allahyarham,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga dan isteri Allahyarham, Shahira Abdul Halim di Hospital Kajang di Kajang pada Jumaat.
Beliau mengulas soalan media mengenai spekulasi berhubung kematian pemanah negara tersebut.
Reezal Merican berkata, beliau sudah menghubungi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba untuk membantu mempercepatkan proses bedah siasat terhadap Allahyarham untuk melancarkan urusan pengebumian.
Beliau berkata, pihaknya juga akan membantu keluarga arwah dalam urusan penghantaran jenazah dan pengebumian di Merlimau, Melaka selain menjelaskan bahawa Allahyarham Haziq tidak menghadapi sebarang penyakit kecuali gout.
"Sehari sebelum raya, beliau masih meneruskan latihan bersama jurulatih (Lee Jae-hyung) dan semalam (Khamis) beliau mendapatkan kebenaran untuk pulang ke rumah.
"Pagi ini (Jumaat), selepas keluar dari tandas, arwah menggigil dan tidak sedarkan diri. Beliau terus dikejarkan ke hospital (Kajang) dan disahkan meninggal dunia pada 9.37 pagi," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemanah negara, Haziq Kamaruddin meninggal dunia
Reezal Merican menyifatkan pemergian arwah yang banyak berjasa kepada negara sejak menyertai program elit pada 2012 sebagai satu kehilangan buat arena sukan negara.
Pemanah berasal dari Johor itu pernah dua kali mewakili negara di temasya Sukan Olimpik iaitu pada edisi London 2012 dan Rio 2016, selain sedang mengejar slot kelayakan untuk Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.
Allahyarham yang sedang menjalani persiapan untuk kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo sepatutnya menyertai kejohanan kelayakan Olimpik terakhir di Perancis pada 16 Jun.
Sepanjang sedekad mewakili negara, Haziq pernah meraih pingat emas pada Grand Prix Asia 2011 di Laos dan gangsa Piala Asia 2019 di Filipina, selain meraih empat emas dan dua perak menerusi acara individu di Sukan SEA sejak edisi 2011 hingga 2019.
Sementara itu, Majlis Sukan Negara (MSN) memaklumkan bahawa keputusan ujian calitan Covid-19 didapati negatif dan jenazah akan dibawa ke Tanah Perkuburan Kampung Tersusun Serkam Darat, Merlimau untuk pengebumian di kampung halaman isterinya.
"Selepas selesai bedah siasat, (jenazah) akan dimandi, dikafankan dan disolatkan di Hospital Kajang dan dijangka akan dibawa pulang ke Melaka pada malam ini. Pengebumian dijangkakan akan disempurnakan malam ini,” menurut kenyataan dari MSN.