Covid-19: Singapura perketat lagi peraturan keselamatan

Iklan

SINGAPURA - Singapura akan memperketatkan lagi peraturan untuk mengekang peningkatan jumlah kes jangkitan Covid-19 dalam komuniti bermula 16 Mei hingga 13 Jun 2021, menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF).

Pada sidang media maya pada Jumaat, pengerusi bersama MTF, Gan Kim Yong berkata, walaupun pada 8 Mei lalu Singapura telah mengambil langkah berjaga-jaga, namun masih terdapat peningkatan kes komuniti.

Iklan
Iklan

"Sejak seminggu lalu, 71 kes jangkitan tempatan dicatatkan. Sebahagian besar dikaitkan dengan kes atau kluster sedia ada. Tetapi kita mencatatkan 15 kes yang tidak punyai kaitan.

"Ini membimbangkan kerana kita tidak dapat kenal pasti punca jangkitan ini. Ini bermakna ada kes yang tidak dapat dikesan dalam komuniti," kata Kim Yong merangkap Menteri Kesihatan.

Iklan

Kim Yong berkata, usaha pengesanan, pengasingan dan membendung jangkitan sedang giat dilaksanakan.

Kontak rapat yang di kuarantin mungkin ada yang positif dalam beberapa hari lagi, katanya.

Iklan

"Kita di bawah fasa berjaga-jaga. Kita perlu bertindak pantas untuk memutuskan rantaian jangkitan virus. Oleh itu, langkah-langkah keselamatan akan diperketatkan,” ujar beliau.

MTF akan beralih kepada sekatan bersasar yang lebih ketat, antara lain saiz kumpulan yang dibenarkan hanya dua orang berbanding lima sebelum ini selain itu, restoran hanya dibenarkan menyediakan perkhidmatan pembungkusan dan penghantaran.

Baru-baru ini, Singapura melaporkan kluster baharu di Terminal 3 Bandar Changi dengan jumlah 46 kes setakat ini.

Selain itu sejak dua minggu lalu jangkitan membabitkan kluster Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Hospital Tan Tock Seng, Pusat Rawatan Komuniti Tuas Selatan dan Terminal Pasir Panjang telah dikesan.

Sehingga tengah hari Khamis, kes di Singapura berjumlah 61,453 dan 11 kluster.

MIF berkata sejak Khamis, Singapura sudah menyuntik lebih 3.2 juta dos vaksin Covid-19.

Kira-kira 1.9 juta individu menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala hampir 1.3 juta lagi telah disuntik kedua-dua dos, katanya. - Bernama