'Rehatkan pemimpin KKM, beri mandat pada EAG'

Iklan
Dr Musa Mohd Nordin

SHAH ALAM - Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin mencadangkan beberapa penyelesaian sebagai pelan tindakan untuk mengelak penularan pandemik Covid-19 daripada terus mencatatkan peningkatan.

Beliau berkata, cadangan penyelesaian itu berikutan kegagalan pemimpin di peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang kini dilihat gagal untuk 'menjinakkan' Coronavirus sejak bermulanya gelombang ketiga pada bulan September 2020.

Iklan
Iklan

Beliau berpandangan agar pemimpin tertinggi yang terbabit dapat melepaskan peranan masing-masing dan 'berehat' untuk seketika kerana adalah mustahak untuk segera memulihkan semula kestabilan dan keharmonian sosio-ekonomi bagi masa depan negara.

"Oleh kerana pemimpin tertinggi di KKM sekarang telah gagal menjinakkan Coronavirus sejak bermulanya gelombang ketiga pada bulan September 2020, adalah mustahak untuk kestabilan dan keharmonian sosio-ekonomi masa depan negara agar mereka melepaskan peranan mereka dan dibiarkan berehat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Sehubungan itu, katanya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus memberi mandat kepada Kumpulan Pakar Penasihat Kesihatan dan Sains Covid-19 (EAG) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Kesihatan KKM sebelum ini, Tan Sri Prof Emeritus Abu Bakar Sulaiman untuk mengambil alih kepemimpinan Bilik Situasi atau Pusat Persediaan dan Respons Krisis (CPRC).

Dr Musa berkata, Tan Sri Abu Bakar akan dibantu lima anggota perubatan terkenal iaitu Ketua Akademi Perubatan Malaysia (AMM), Prof Dr Rosmawati Mohamed dan bekas Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Mary Cardosa.

Iklan

Tiga lagi individu ialah bekas Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan dan wakil Persatuan Doktor Kesihatan Awam Malaysia (PHPAM), Datuk Dr Fadzilah Kamaluddin, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh serta bekas Timbalan Ketua Pengarah KKM dan Doktor Penyakit Berjangkit, Datuk Dr Christopher Lee.

Menurutnya, dalam masa sama usaha pihak EAG akan terus diperkaya dengan sokongan dan pandangan daripada doktor akademik, tentera, persatuan profesional perubatan lain dan sektor penjagaan kesihatan swasta.

"Sejak Januari 2021, EAG dengan batuan 10 Kumpulan Kerja teknikal telah membentuk strategi Covid-19 yang berkesan untuk membendung pandemik Covid-19 dengan pendekatan berasaskan sains," katanya.

Beliau berkata, penyelesaian Covid-19 hanya berputar pada empat tonggak utama pengurusan pandemik antaranya ialah memperoleh kepercayaan rakyat selain menetapkan semula strategi Finding (Kenal Pasti), Testing (Ujian), Tracing (Kesan), Isolation (Kuarantin) dan Support (Sokongan) atau dikenali FTTIS dengan tindak balas yang pantas.

Dua lagi tonggak pengurusan pandemik ialah penyelesaian secara digital dan otomasi selain terus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap vaksin dengan kadar suntikan yang lebih cepat.

Dr Musa berkata, EAG harus diberikan kuasa untuk mengoperasikan rancangan induk itu untuk melindungi perkhidmatan kesihatan rakyat dan menguatkan daya tahannya.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan secara sistematik perlu melegakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk terus memberi manfaat kepada penghidupan rakyat, ekonomi negara dan melindungi mereka dari gangguan sosial dan psikologi seterusnya mengeluarkan rakyat daripada wabak berkenaan.

"Buat rancangan kesiapsiagaan untuk gelombang Covid-19 di masa depan atau pandemik lain dengan kerjasama awam-swasta yang lebih kukuh.

"Manfaatkan inovasi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4) untuk menyokong kebaikan masyarakat, terutamanya dengan menangani cabaran kesihatan dan sosial.

"Negara sekarang berada di puncak bencana nasional yang belum pernah terjadi sebelumnya jika Perdana Menteri tidak membuat keputusan yang tepat dan berani ini negara akan terperangkap dalam gelombang pandemik yang berterusan dan kitaran PKP yang berpanjangan akan menggadaikan nyawa dan merosakkan kehidupan rakyat dan negara tercinta," katanya.

Dalam pada itu, katanya, Perdana Menteri harus mengendalikan menteri-menteri Kabinet untuk memastikan bahawa mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan tegas mematuhi 3C dan 3W dan memberikan contoh yang baik untuk diteladani oleh rakyat.

"Perdana Menteri mesti memilih seorang pakar Komunikasi Risiko yang berpengalaman dan bijak berbicara, paling baik jika dia seorang pakar Kesihatan Awam untuk memberi penerangan Covid-19 yang menyakinkan dan memberi inspirasi kepada rakyat dan memperkasakan mereka untuk melakukan tindakan yang betul di dalam rangka untuk membantu kerajaan membasmi kuman Covid-19," katanya.