HARI Raya Aidilfitri disambut pada 1 Syawal setiap tahun oleh umat Islam di seluruh dunia sebagai tanda kemenangan melawan lapar, dahaga, nafsu dan lain-lain dugaan duniawi sepanjang bulan Ramadan.
Islam menggalakkan umatnya merayakan Aidilfitri secara sederhana. Namun, telah menjadi budaya di Malaysia apabila hari raya disambut secara besar-besaran hampir sepanjang Syawal. Rakyat membelanjakan wang untuk sambutan dan berpusu-pusu pulang ke kampung halaman.
Begitu juga dengan pilihan raya. Setiap lima tahun, rakyat Malaysia akan merayakan hari kebesaran demokrasi apabila Parlimen dibubarkan dan pengundi diberi peluang melaksanakan tanggungjawab memilih wakil dalam kalangan rakyat untuk membawa suara dan aspirasi mereka ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sejak pilihan raya umum pertama selepas merdeka iaitu pada 1959 sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pilihan raya disambut seolah-olah satu pesta oleh rakyat Malaysia.
Semasa musim pilihan raya, orang-orang politik akan menjadi kreatif untuk berbelanja agar tidak melanggar peraturan ditetapkan. Sebagaimana sambu-tan hari raya, kempen pilihan raya juga menjadi sumber penjanaan pendapatan bagi penyokong dan aktivitis parti politik pelbagai peringkat.
Ziarah-menziarah ahli keluarga menceriakan sambutan hari raya dengan makan dan minum yang tiada putusnya. Begitu juga kempen pilihan raya. Calon akan mengunjungi segenap lapisan pengundi melalui pelbagai program yang dirancang. Jamuan, kenduri, makan minum dan lain-lain istilah digunakan untuk mengumpul penyokong serta pengundi.
Walaupun Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 memperuntukkan bahawa jamuan dan lain-lain cara untuk membeli undi adalah tidak dibenarkan, namun penguatkuasaan peruntukan itu adalah minimum.
Sebagai sebuah negara membangun, ramai rakyat Malaysia berhijrah ke tempat lain untuk mencari rezeki. Namun, hati kecil mereka masih berpaut di kampung halaman. Menjelang Syawal, perantau pulang ke kampung.
Begitu juga semasa pilihan raya, masih ramai pengundi yang berdaftar di kawasan mereka dibesarkan dan bukannya di tempat mereka bermastautin. Bila tiba hari mengundi, maka berduyunlah perantau merentas sempadan untuk balik mengundi.
Prinsip sejagat menyatakan bahawa pengundi harus mengundi di tempat mereka bermastautin. Malangnya di Malaysia, penguatkuasaan undang-undang berkaitan perubahan alamat tidak pernah dilaksanakan menyebabkan pengundi boleh mendaftar di mana-mana kawasan bahagian pilihan raya berdasarkan alamat yang tercatat di atas kad pengenalan masing-masing.
Pandemik Covid-19 mengubah segalanya. Sudah dua tahun sambutan hari raya menjadi hambar.
Rakyat gelisah dengan peraturan baharu yang diperkenalkan. Namun, demi menjaga kesejahteraan semua, peraturan itu harus dipatuhi.
Begitu juga pilihan raya, dengan pengisytiharan darurat pada 11 Januari 2021, Parlimen Malaysia digantung dan semua pilihan raya kecil ditangguhkan sehingga suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Dari satu sudut, seolah-olah demokrasi terhakis dengan penggantungan Parlimen tetapi dari sudut yang lain, apa erti demokrasi sekiranya Covid-19 terus bermaharajalela.
Bagi rakyat, darurat diisytiharkan untuk melawan ancaman Covid-19. Janganlah darurat digunakan untuk kepentingan politik mana-mana pihak.
Pilihan raya bukannya pesta untuk makan, minum dan berbelanja bagi memancing undi tapi merayakan demokrasi dengan pemilihan wakil yang bekerja untuk rakyat demi kemajuan dan kesejahteraan negara.
* Amerul Muner Mohammad ialah bekas CEO Electoral Reform Committee (ERC) Malaysia