Kaut untung guna jenama orang lain

Iklan
Azman

KUALA LUMPUR - Sanggup memanipulasi hak cipta orang lain semata-mata mahu kaut untung berjuta kali ganda.

Itu kaedah penjenayah cetak rompak barang tiruan yang sering dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Iklan
Iklan

Tindakan segelintir peniaga dengan modus operandi berbeza juga bagaimanapun sedikit tidak mematahkan tindakan pihak berkuasa berusaha melindungi hak cipta daripada disonglap.

Menjelaskan lebih lanjut, Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, berdasarkan statistik seluruh negara membabitkan kes barang tiruan, sejak tahun 2019 hingga Mac tahun ini, KPDNHEP merekodkan 63 tangkapan di bawah Ops Jeriji dengan 1,735 kes dan rampasan keseluruhan berjumlah RM51.3 juta.

Iklan

Menurutnya, mengikut pecahan, pada tahun 2019, seramai 27 orang ditangkap membabitkan 663 kes dengan nilai rampasan mencecah RM18.1 juta.

"Pada tahun 2020, jumlah tangkapan meningkat dengan 34 orang melibatkan 1,015 kes dengan rampasan berjumlah RM32.8 juta.

Iklan

"Bagaimanapun, sehingga Mac tahun ini, dua suspek berjaya ditahan hasil 57 kes yang diterima membabitkan rampasan bernilai RM393, 773, katanya kepada Sinar Harian dalam temu bual khas baru-baru ini.

Azman berkata, statistik ini menunjukkan ketegasan kerajaan dalam membanteras barangan tiruan di pasaran dengan kerjasama wakil pemilik cap dagangan.

Taktik penjualan barang tiruan

Beliau berkata, modus operandi sesuatu penjualan dan pengedaran barangan tiruan boleh dikatakan berbeza mengikut jenis barangan.

"Sebagai contoh, bagi pembuatan arak tiruan, modus operandi yang digunakan adalah dengan mengitar semula botol arak yang asli, kemudian diisi semula dengan arak murah atau campuran alkohol yang tidak diketahui kandungannya. Arak tersebut kemudian diedar ke pusat hiburan dan kedai runcit dengan menggunakan label dan penutup tiruan.

"Begitu juga dengan dakwat pencetak komputer tiruan (toner). Bekas dakwat atau casing asli dikitar semula kemudian diisi dengan dakwat yang berkualiti rendah, kemudian diedar semula ke pasaran dengan kotak asli yang turut dikitar semula," katanya.

Ujar Azman, bagi barangan tiruan berupa pakaian, kasut dan beg, boleh dikatakan majoriti barangan tersebut diimport dari luar Negara. Ini adalah kerana kos pembuatannya yang dipercayai jauh lebih murah di sana berbanding di Malaysia.

"Bagaimanapun, terdapat juga kes di mana pembuatan pakaian menggunakan jenama tiruan turut dihasilkan di Malaysia.

"Ini susulan pembongkaran menerusi operasi pada 29 Mac 2021 di ibu Negara melibatkan sitaan 121 acuan (mould) yang digunakan bagi mencetak jenama popular pada pakaian yang disita.

"Kes tersebut melibatkan rampasan sebanyak 4,630 helai pakaian selain peralatan yang digunakan untuk mencetak, katanya.

Katanya lagi, KPDNHEP percaya barangan tiruan tersebut kemudiannya dipasarkan kepada pengguna menerusi penjualan di premis-premis fizikal mahupun secara atas talian.

Jual barang tiruan di media sosial

Menurut Azman Adam, perubahan dan perkembangan teknologi turut menyumbang kepada pengedaran barangan tiruan di Malaysia yang mana peniaga terbabit turut terkesan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"PKP memberikan satu sumber alternatif kepada peniaga untuk menjual barangan secara dalam talian seperti makanan, pakaian, barangan keperluan harian dan lain-lain. Ini termasuklah penjualan barangan tiruan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

"Terdapat juga penjual kecil-kecilan yang menggunakan internet sebagai medium dalam penjualan dan pengedaran. Penjualan barangan tiruan secara dalam talian merupakan cabaran kepada KPDNHEP serta agensi penguatkuasaan lain," katanya.

Jelas Azman, helah yang melibatkan penjualan barangan tiruan secara online adalah sedikit berbeza di mana terdapat juga penjual yang hanya bertindak sebagai ejen dropship yang tidak menyimpan stok barangan tersebut.

Anggota penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan ketika serbuan di sebuah premis.

Menurutnya, ejen ini hanya bertindak sebagai orang tengah dan akan membuat tempahan dari luar negara seterusnya barangan akan dihantar kepada pengguna.

"Bagaimanapun, KPDNHEP telah menjalankan penguatkuasaan barangan tiruan di medium online untuk memastikan aktiviti ini dibanteras sepenuhnya. Dalam hubungan ini, KPDNHEP bekerjasama dengan lain-lain agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pemilik tapak pasar dalam talian seperti Lazada dan Shopee.

"Antaranya kaedah yang kami (KPDNHEP) gunakan adalah melaksanakan website blocking bagi pautan atau laman sesawang yang menjual barangan tiruan.

"Kedua, melaksanakan penurunan kandungan (content removal) bagi iklan atau penjualan barangan tiruan selain bekerjasama dengan wakil pemilik cap dagang dalam mengenal pasti pemilik akaun atau penjual dalam talian," katanya.

Tambahnya, selain itu, KPDNHEP juga bertindak serius dengan pelaksanaan sitaan selepas maklumat risikan diperolehi.

Dalam pada itu, pihaknya juga berdepan dengan cabaran seperti penjual yang menggunakan nama samaran serta telefon bimbit yang didaftarkan atas nama orang lain dan penjual yang menggunakan identiti berbeza selepas iklan asal diturunkan oleh online marketplace operator seperti Lazada, Shopee dan sebagainya.

"Namun, tindakan kita tetap serius dalam usaha membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang.

KPDNHEP juga sentiasa meneruskan risikan untuk mengenal pasti sumber atau lokasi penjual dalam talian,"katanya.

Ujarnya lagi, KPDNHEP juga telah mengenal pasti beberapa lokasi panas (hotspot) yang menjalankan aktiviti jualan barangan tiruan di seluruh negara.

"Lokasi tersebut sering menjadi tumpuan pelancong asing sebelum PKP dan boleh memberikan imej buruk kepada Negara sebagai pusat penjualan barangan tiruan.

"Pasukan kita sentiasa memantau lokasi terlibat dan dijadikan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) bagi memastikan penjualan barangan tiruan tidak berleluasa di lokasi terbabit.

"Oleh yang demikian, Kementerian telah menetapkan KPI bagi membanteras aktiviti penjualan dan pengedaran barangan tiruan di bawah Ops Tiru," katanya.

Justeru, melalui KPI ini, KPDNHEP menetapkan premis-premis yang dikenal pasti untuk pemantauan bagi memastikan pematuhan di seluruh negara terus dilaksanakan.

Warga asing dalang barang tiruan

Dedah Azman, sebelum ini, warga asing yang ditangkap merupakan pekerja yang diupah untuk menjual atau menjaga kedai barangan tiruan.

Namun, dipercayai terdapat warga asing sendiri yang mendalangi kegiatan membawa masuk barangan tiruan berupa pakaian ke Malaysia.

"Kita tidak nafikan perkara itu. Kita pernah tahan dengan rampasan barangan.

"Ada kes sebelum ini di mana suspek warga asing disyaki menjadi dalang dalam membawa masuk serta menjalankan percetakan pakaian menggunakan jenama tiruan," katanya.

Azman berkata permintaan tinggi menjadi faktor penjualan barangan cetak rompak secara besar-besaran.

"Selain itu, kesedaran pengguna terhadap kepentingan menjaga hak harta intelek juga masih rendah.

"Pengguna kadangkala menyedari bahawa barangan yang dibeli adalah barangan yang bukan asli, tetapi kerana harga yang murah dan berjenama, barangan tersebut tetap menjadi pilihan," katanya.

Barangan disyaki disahkan dulu oleh pemilik cap dagang sebelum ianya disahkan sebagai tiruan.

Tambah Azman, faktor bahawa barangan tiruan tersebut boleh didapati secara dalam talian juga menyebabkan kegiatan ini menjadi tidak terkawal.

Katanya, bukan sahaja kerana permintaan daripada pengguna, tetapi juga kemudahan teknologi secara tidak langsung memudahkan peniaga untuk menjual baranagn tersebut di pasaran.

Menurut Azman, KPDNHEP tidak teragak-agak untuk melaporkan salah laku dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pegawai dan anggota sekiranya terbukti melindungi kegiatan sedemikian.

"Mereka yang didapati bersubahat akan dikenakan tindakan keras. Ini amaran KPDNHEP. Kita tidak mahu pegawai kita terlibat dalam jenayah ini," katanya.

Oleh itu, Azman menegaskan, mana-mana individu yang mempunyai maklumat mahu pun bukti, tampil dan salurkan kepada pihaknya.

Sekiranya ada dakwaan sedemikian, bukti-bukti yang berkaitan boleh dikemukakan untuk diambil tindakan.

"Kalau terdapat keterangan yang menyatakan bahawa terdapat pihak berkuasa melindungi kegiatan ini, mereka akan berdepan tindakan," katanya.

Tegas Azman, beliau mengingatkan pegawai dan anggotanya untuk tidak terlibat dalam salah laku berkaitan integriti khususnya.

"Selain itu, beliau juga menafikan bahawa terdapat tindakan yang dilakukan pihaknya adalah double standard. Dalam statistik kes yang dicatatkan, operasi dijalankan tanpa mengiara tempat mahu pun siapa penjualnya...tidak kira bangsa," jelasnya.

"Sekiranya didapati mana-mana peniaga atau pelaku yang diambil tindakan dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

"Selain daripada tindakan kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019, KPDNHEP akan mengambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas tanpa kompromi di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001," katanya.

Kata Azman lagi, KPDNHEP mengingatkan kepada mana-mana peniaga yang menjalankan urus niaga barangan tiruan dan cetak rompak agar menghentikan kegiatan itu.

"Sekiranya dijumpai mana-mana premis yang menjual barangan tiruan dan cetak rompak di pasaran fizikal mahupun pasaran online, orang awam diminta untuk salurkan aduan kepada KPDNHEP di talian 1-800-886-800 atau WhatsApp ke 019-2794317.

"Aduan juga boleh salurkan melalui portal eaduan.kpdnhep.gov.my untuk diambil tindakan sewajarnya," katanya.

Katanya, KPDNHEP bertekad tidak mahu negara ini hub atau pusat penjualan barang tiruan secara berleluasa sekali gus menyebabkan pelabur-pelabur yang ingin menjalankan perniagaan berasa tidak yakin sekali gus mengakibatkan kerugian pada negara.