Strategi kerajaan salur bantuan PKP 3.0

Iklan
Impak pelaksanaan PKP 3.0 dijangka memberi kesan lebih besar kepada rakyat berbanding dua PKP terdahulu susulan ancaman gelombang keempat Covid-19 dilihat semakin serius.

MENYELAMI implikasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula 6 Mei lalu, banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara kini mula merasai kesannya.

Tatkala musim perayaan Aidilfitri sepatutnya menjadi ‘lubuk’ golongan peniaga pasar malam, bazar Ramadan dan ekspo Aidilfitri untuk mencari rezeki tambahan, pengumuman terkini kerajaan menutup sebahagian besar perniagaan itu menyebabkan nasib mereka menjadi semakin tidak keruan.

Iklan
Iklan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan ribuan peniaga kecil bazar Ramadan dan ekspo Aidilfitri di seluruh negara terkesan apabila kerajaan tidak menyalurkan bantuan sebagaimana diberikan sewaktu PKP 1.0 dan PKP 2.0.

Hal ini ditambah dengan langkah terkini kerajaan menetapkan semua premis yang mempunyai risiko penularan Covid-19 dalam sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE), ditutup selama tiga hari pada 7 Mei lalu.

Iklan

Sebelum ini, kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperuntukkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sejumlah RM250 bilion bagi menampung keperluan seluruh rakyat yang terjejas akibat PKP 1.0 pada 18 Mac tahun lalu.

Pada PKP 2.0 yang dilaksanakan pada 13 Januari lepas pula, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan bernilai RM15 bilion.

Iklan

Selain bantuan pakej rangsangan ekonomi, kerajaan PN juga menawarkan moratorium pinjaman bank serta kebenaran pengeluaran duit dari akaun satu dan dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Sinar dan i-Lestari. Tidak ketinggalan bantuan Skim Subsidi Upah bagi meringankan beban rakyat serta majikan pada PKP terdahulu.

Apabila kerajaan sekali lagi memutuskan PKP 3.0 dilaksanakan, adakah kerajaan masih mempunyai keupayaan kewangan untuk memberi bantuan kepada rakyat terkesan sebagaimana PKP terdahulu?

Keupayaan kewangan

Seorang pakar ekonomi, Profesor Datuk Dr Barjoyai Bardai, berpandangan kerajaan masih mampu menyalurkan pakej bantuan PKP 3.0 di sebalik dakwaan rizab perbendaharaan negara yang dikatakan semakin menyusut.

Jelas beliau, negara masih berupaya untuk membuat pinjaman kewangan secara dalam negeri, menerusi penawaran bon kepada syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.

"Kadar keupayaan Malaysia untuk meminjam wang masih tinggi berbanding negara jiran lain, cuma masalahnya kerajaan mempunyai isu untuk mencairkan aliran tunai.

"Berikutan itu, kerajaan perlu merancang strategi membuat pinjaman kewangan secara serius demi membantu jutaan rakyat yang terjejas akibat PKP 3.0.

"Kerajaan tidak boleh beri alasan PKP kali ini tiada kesan serius disebabkan ia dilaksanakan secara bersasar,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Barjoyai, peruntukan pakej bantuan rakyat PKP 3.0 juga perlu bernilai lebih besar dan bersasar berbanding PKP 2.0 kerana pelaksanaan PKP 2.0 yang lebih longgar dilihat masih gagal menyemarakkan aktiviti ekonomi sebagaimana diharapkan kerajaan.

Beliau turut berpandangan nasib kumpulan pekerja, rakyat berpendapatan rendah (B40) dan peniaga kecil kini sudah nyawa-nyawa ikan memandangkan implikasi gelombang keempat Covid-19 dijangka lebih buruk berbanding sebelum ini.

"Kalau boleh, kerajaan kena fikirkan bayaran bulanan dan bukan disalurkan one off kepada golongan B40 yang menepati kriteria ‘hilang punca pendapatan’ sepanjang tempoh PKP. Saya menjangkakan sejumlah RM2.4 bilion diperlukan bagi tujuan itu.

"Bagi golongan peniaga kecil dan PKS, mereka lebih memerlukan bantuan pinjaman mudah untuk kembali bernafas. Perkasakan capaian data senarai peniaga berdaftar, hindar kerenah birokrasi dan segerakan tempoh kelulusan pinjaman mudah kepada peniaga berkelayakan,” katanya.

Bantuan bersasar

Cadangan Barjoyai bagaimanapun tidak dipersetujui sepenuhnya seorang lagi pakar ekonomi daripada Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma.

Madeline sebaliknya berpandangan pelaksanaan PKP secara bersasar dan fokus di lokasi yang diklasifikasi zon merah adalah langkah lebih tepat bagi kerajaan menjimat sumber tenaga serta wang dalam usaha membendung penularan Covid-19.

"Bila Malaysia dalam fasa pemulihan, saya yakin tumpuan kerajaan selepas ini akan lebih kepada usaha memperkasa pertumbuhan ekonomi makro atau secara keseluruhan demi menjana pendapatan negara serta peluang pekerjaan kepada rakyat.

"Kerajaan tidak boleh terus salur bantuan sebagaimana PKP 1.0 dan PKP 2.0 selagi formula membendung jangkitan Covid-19 tidak dapat dikenal pasti.

"Saya fikir strategi vaksinisasi rakyat Malaysia bagi membentuk imuniti berkelompok perlu dipercepatkan dengan dana perlu ditumpukan ke atas tujuan itu. Jika tidak, negara akan terus melaksanakan PKP secara on dan off sampai bila-bila,” katanya.

Madeline turut menganggap pelaksanaan PKP secara berulang setiap kali kes Covid-19 meningkat juga tidak akan membantu proses pemulihan ekonomi negara secara menyeluruh.

Jelas beliau, pada ketika ini, tumpuan bantuan kepada rakyat terkesan PKP 3.0 mungkin hanya perlu disasarkan kepada golongan peniaga mikro seperti peniaga pasar malam, bazar Ramadan dan ekspo Aidilfitri.

"Kerajaan mempunyai keupayaan kewangan untuk membantu rakyat seperti membuat pinjaman dalam negara, tetapi hendak menyalur bantuan itu satu cerita lain. Tidak bermakna bila kerajaan ada keupayaan kewangan, bantuan wajib diberikan sempena PKP 3.0.

"Pakej bantuan kerajaan tidak boleh berbentuk watering can, disalurkan kepada semua rakyat. Tetapi ia mestilah bersifat bersasar, ibarat ubat yang digunakan untuk merawat penyakit tertentu sahaja.

"Yang penting, peniaga mikro dan PKS perlu memikirkan strategi perniagaan terbaik untuk mengadaptasi impak Covid-19 bagi mengukuhkan kedudukan mereka berbanding berterusan bergantung bantuan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming pula melihat isu percanggahan pendapat dalam kalangan menteri sewaktu melaksanakan polisi PKP 3.0 adalah konflik lebih membimbangkan rakyat.

Berbanding teka-teki sama ada bantuan khas PKP 3.0 bakal diberikan, ahli Parlimen Bangi daripada DAP itu melihat kegagalan kerajaan melaksanakan polisi konsisten dalam menguatkuasakan PKP 3.0 sebagai isu pokok lebih besar.

"Sebagai contoh sebelum ini, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) kata lokasi dikenal pasti HIDE bukan kawasan kluster Covid-19.

"Namun, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kemudiannya menyatakan premis yang didedahkan HIDE adalah lokasi kluster dan perlu ditutup selama tiga hari.

"Ini satu percanggahan besar dan kalau kerajaan sendiri tidak boleh membuat polisi konsisten, bagaimana pula bentuk bantuan PKP 3.0 yang mampu disalurkan secara berkesan kepada rakyat?” soalnya.