SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kumpulan Penasihat Anak Muda kepada Perdana Menteri bakal ditubuhkan sebagai salah satu platform untuk golongan belia menyuarakan pandangan di peringkat akar umbi, sekali gus menyumbang kepada perancangan dasar kerajaan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses pemilihan calon sedang dijalankan dan barisan anak muda yang terpilih untuk menganggotai persatuan berkenaan akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
"Melalui platform ini, saya berharap lebih ramai belia dapat terlibat secara langsung dalam merangka strategi pembangunan negara yang menyeluruh,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Hari Belia Negara 2021 pada Sabtu.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, bagi mencapai agenda pemerkasaan komuniti, kerajaan turut memberikan fokus kepada elemen tanggungjawab sosial dalam pembangunan belia menerusi bidang kesukarelawan.
"Sebagai contoh, penyertaan belia sebagai Sukarelawan MyVac atau Malaysia Vaccine Support Volunteers dan Sukarelawan Rakan Muda Sports Bubble.
"Sehingga 3 Mei lepas, seramai 10,500 orang mendaftarkan diri sebagai sukarelawan MyVac manakala 5,360 lagi mendaftar sebagai sukarelawan Rakan Muda Sports Bubble.
"Daripada jumlah ini, seramai 80 peratus sukarelawan terdiri daripada lingkungan umur antara 15 hingga 40 tahun,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, penyertaan besar golongan tersebut merupakan bukti sumbangan mereka untuk membantu masyarakat dan kerajaan dalam usaha menamatkan wabak Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi negara.
"Kerajaan menghargai sumbangan belia dalam aspek ini dan peranan yang disumbangkan untuk mencapai hasrat Wawasan kemakmuran Bersama 2030 sebagai aspirasi kita bersama untuk generasi masa depan,” katanya.