PASIR MAS - Tiga lelaki dan seorang wanita dicekup polis ketika sedang leka berjudi di dalam hutan berhampiran Simpang Tiga Banggol Petai, di sini pada awal pagi Jumaat.
Dalam serbuan jam pada 12.30 pagi itu, polis turut merampas wang tunai pelbagai nilai yang dianggarkan berjumlah RM279, 52 keping daun terup, sebidang tikar plastik dan tiga batang lilin.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 40 hingga 58 tahun.
"Salah seorang daripada mereka merupakan warga negara Thailand," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Sabtu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku bermain judi di tempat tersebut seawal jam 9 malam sehingga jam 2 pagi.
"Kes disiasat bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.
Mohd Nasaruddin berkata, kesemua suspek turut disiasat di Bawah Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindahan 2021) kerana berkumpul tiada penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup hidung yang ditetapkan di bawah peraturan 16 P.U (A) 225/2021.