Kerisauan belia terkesan Covid-19 akan ditangani segera

Iklan
Reezal Merican

KUALA LUMPUR - Kerisauan dan keresahan warga belia yang terkesan oleh pandemik Covid-19 akan ditangani sebaiknya, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata, kerajaan telah melakukan pelbagai ikhtiar termasuk penubuhan Majlis Pekerjaan Negara, Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja), Skim Perantisan Nasional, pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan pertubuhan belia di seluruh peringkat, program e-Belia dan Bantuan Prihatin Rakyat bagi membantu belia mengharungi cabaran masa kini.

Iklan
Iklan

"Covid-19 sememangnya memberikan kesan cukup besar kepada kelompok belia seperti isu pengangguran, ketakpadanan peluang pekerjaan, kebajikan dan keselamatan mereka yang dalam sektor ekonomi gig, ruang dan peluang keusahawanan.

"Permulaan dekad yang sukar tidak bererti belia Malaysia akan pantas mengalah, belia Malaysia akan melalui detik, saat dan dekad sukar ini dengan penuh iltizam dan keyakinan,” katanya dalam ucapan bersempena Hari Belia Negara 2021 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Sabtu.

Iklan

Reezal Merican berkata, KBS juga sentiasa bergerak seiring aspirasi dan keinginan generasi muda kerana golongan itu akan menjadi tonggak penting dalam kemajuan masa depan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata meskipun berdepan Covid-19, ramai dalam kalangan belia di negara ini mencatat kejayaan dan potensi luar biasa.

Iklan

Katanya, ini termasuk belia yang berkorban masa, tenaga dan nyawa untuk negara sebagai petugas barisan hadapan, selain kejayaan dalam bidang sukan, sekali gus mengharumkan nama negara.

"Semoga sambutan ini akan mengukuhkan semangat, membina iltizam tinggi warga belia Malaysia untuk menjadi paksi penting kepada usaha membina negara dan mengukuh daya saing bangsa. Selamat Hari Belia Negara, ‘Dekad Ini, Dekad Anda’,” katanya. - Bernama