IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah serta Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak di Taman Tema Lost World Of Tambun (LWOT), petang tadi.
Keberangkatan baginda berdua diiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah, Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Zulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Turut mengiringi, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi dan barisan Exco Kerajaan Negeri.
Ketibaan baginda sekitar 4 petang, disambut meriah kakitangan LWOT serta orang ramai yang menghadiri majlis rumah terbuka di taman tema berkenaan yang memberikan kemasukan percuma, hari ini.
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kemudiannya menaiki keretapi mini yang disediakan sebagai pengangkutan ke pentas utama di taman tema berkenaan.
Setelah Exco Sukan dan Pembangunan Belia berucap pada majlis berkenaan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke pentas utama bagi menyempurnakan gimik perasmian majlis dengan menerusi tulisan kaligrafi Cina.
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah serta Tuanku Zara Salim kemudiannya turut berkenaan menyempurnakan acara pemberian 'ang pau' kepada rumah kebajikan melibatkan Pertubuhan Pengurusan Rumah Anak-Anak Yatim dan Miskin Anning Ipoh, The Salvation Army Ipoh Children Home dan Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman.
Majlis kemudiannya diteruskan lagi dengan majlis santapan dengan diiringi persembahan tarian dan nyanyian.
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah serta Tuanku Zara Salim berangkat meninggalkan majlis sekitar 5.30 petang.