SHAH ALAM - Wanita UMNO menafikan dakwaan arahan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta pimpinan UMNO menjemput wakil DAP dalam setiap program anjuran parti itu.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, dakwaan tersebut adalah fitnah daripada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memecahkan perpaduan dalam UMNO.
Menurutnya, baru-baru ini tular kononnya wujud perbualan WhatsApp yang didakwa daripada kumpulan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang mengatakan beliau menjemput Ahli Parlimen Bangi daripada DAP, Dr Ong Kian Ming dalam satu program lawatannya pada Rabu.
"Ini semua fitnah. Saya tidak mengetahui kewujudan WhatsApp group tersebut. Jika betul ada, ia bukan WhatsApp group rasmi MT UMNO.
"Mungkin sengaja dibuat untuk fitnah parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Noraini menjelaskan beliau bertembung dengan Kian Ming ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mana ahli Parlimen DAP itu turut berada di situ.
"Saya ke PPV di UKM untuk berjumpa dengan sukarelawan MyVac yang tidak pulang ke kampung halaman untuk sambut Aidilfitri. Di situ saya terserempak dengan Kian Ming.
"Sebelum beredar, Kian Ming tanya hendak ke mana dan saya jawab hendak pergi ziarah pelajar UKM yang sakit di Sungai Merab.
"Kemudian dia kata hendak ikut sebab itu bawah Parlimen dia. Itu sahaja,” tegasnya.
Pada Rabu, Noraini bersama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Husaini Omar menziarah seorang pelajar ijazah kedoktoran di UKM, Azura Omar yang sedang berjuang melawan penyakit kanser.
Turut bersama dalam lawatan tersebut Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.