LABUAN - Tindakan 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) bekerja secara haram dalam sebuah bot nelayan membawa padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Labuan pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, semua PATI berusia antara 24 hingga 48 tahun itu didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan permit untuk bekerja di negara ini.
Iklan
Iklan
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Nudin Jusoh berkata, mereka ditahan ketika sepasukan anggotanya menjalankan Ops Pagar Laut dan bot peronda Zon Maritim Labuan berjaya mengesan sebuah bot nelayan tempatan yang dilihat mencurigakan.
"Individu di dalam bot itu didapati sedang menangkap ikan di kedudukan sekitar 24 batu nautika barat laut dari Pulau Labuan.
"Pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh 18 kru termasuk tekong dan hasil pemeriksaan 16 daripadanya gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan disyaki sebagai PATI," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Nudin berkata, bot terbabit kemudian ditunda dan diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Labuan manakala semua kru ditahan untuk siasatan lanjut.