PENGENDALI Leicester City, Brendan Rodgers menggesa pemain The Foxes memanfaatkan peluang mencipta sejarah menjelang perlawanan akhir Piala FA di Stadium Wembley, awal pagi Ahad ini.
Malah menurut Rodgers, The Foxes sememangnya layak beraksi di pentas akhir tersebut selepas mengharungi saingan getir kempen kejuaraan tersebut musim ini.
"Pemain-pemain Leicester berjaya membuktikan kemampuan kelab ini untuk mara ke final saingan berprestij ini dan kini peluang kepada semua pemain mencipta sejarah tersendiri.
"Mara ke final dengan kelebihan tersendiri dalam kalangan pemain dan sekiranya momentum ini dikekalkan saya percaya trofi kejuaraan mampu dibawa pulang ke Stadium King Power.
"Sebelum ini kita biasa menyaksikan aksi final Piala FA, namun kejayaan mara ke final buat julung kalinya satu kebanggaan yang perlu dimanfaatkan pemain Leicester,” katanya.
The Foxes yang menewaskan Southampton bakal melakukan penampilan pertama final kejohanan itu sejak 52 tahun lalu bakal berdepan Chelsea kendalian Thomas Tuchel yang mara setelah menyingkirkan Manchester City pada satu lagi perlawanan sebelum ini.
Jelas Rodgers lagi, pada masa ini dia mahu pemain-pemainnya kekal tenang menjelang perlawanan yang turut menawarkan slot saingan Eropah musim depan tersebut.
"Pemain seperti biasa melakukan persiapan fizikal dan mental rapi bagi perlawanan ini sama seperti perlawanan lain sebelum ini. Cumanya kelainan kali ini ia satu perlawanan akhir yang membolehkan setiap pemain mencipta sejarah tidak hanya untuk kelab tetapi diri sendiri.
"Impak perlawanan akhir ini cukup berbeza dengan perlawanan-perlawanan yang dilalui mereka yang berada di kelab sebelum ini,” katanya.
Untuk rekod, pentas final ini juga bakal menyaksikan kehadiran 21,000 penonton dengan penyokong kedua-dua kelab dengan masing-masing diperuntukkan 6,250 tiket.