PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menafikan berita penyertaan pemain badminton dari Israel, Misha Zilberman/Svetlana Zilberman yang bakal beraksi dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia mulai 25 hingga 30 Mei ini.
Perkara itu ditegaskan BAM di laman Facebooknya pada Sabtu dengan mengatakan kehadiran pemain daripada Israel tidak pernah mendapat kelulusan daripada kerajaan.
Menurut BAM carta undian kejohanan yang tular di media sosial hari ini melibatkan pasangan beregu campuran yang juga pasangan nombor satu Israel selain menduduki ranking ke-141 dunia itu juga sememangnya tidak pernah mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan.
Bagaimanapun menerusi akaun Twitter, seorang peminat badminton mengemukakan soalan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berhubung perkara itu selain memuat naik undian didakwa dikeluarkan Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) bagi Kejohanan Terbuka Malaysia kali ini.
"Salam DS@ Reezal Merican, adakah senarai pemain ini betul? Kalau betul, mohon pencerahan. Macam mana atlet Israel boleh berada dalam senarai pemain badminton Terbuka Malaysia, sedangkan Malaysia tak mengiktiraf negara Israel?
Pihak BAM mewakili kemudiannya membalas ciapan berkenaan dengan mengatakan bahawa berita berkenaan adalah tidak benar dan kerajaan tidak pernah meluluskan kemasukan mereka (pemain) ke negara ini.
"Salam tuan. Tidak benar. Untuk pengetahuan tuan, entri pemain-pemain ini tidak pernah diluluskan sejajar dengan polisi negara kita.
"Undian (draw) pula dibuat oleh pihak @bwfmedia dan berdasarkan laporan kelayakan minimum (M&Q) dan juga tidak pernah diluluskan,” balas BAM menerusi aplikasi Twitter pada Sabtu.
Kejohanan badminton Terbuka Malaysia yang sepatutnya berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil mulai 25 hingga 30 Mei 2021, telah dipinda ke tarikh yang belum ditetapkan ekoran pandemik Covid-19.
Pasangan beregu campuran yang menggandingkan pasangan ibu/anak ibu berusia 63 tahun (Svetlana) dan anak lelaki (Misha) berusia 32 tahun itu mula menjadi tumpuan dalam sukan badminton terutamanya kepada Svetlana yang masih mampu beraksi masih mampu beraksi secara kompetitif.