CHELSEA dijangka menurunkan Kepa Arrizabalaga menjelang aksi final Piala FA menentang Leicester City di Stadium Wembley, Ahad ini.
Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel mengesahkan perkara itu berkata, dia yakin dengan kewibawaan penjaga gol kelahiran Sepanyol tersebut yang diturunkan ketika menentang Arsenal pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), Rabu lalu.
"Pertama saya tidak meragui keupayaan Arrizabalaga mengawal gawang dan selayaknya dia diberikan peluang berada dalam kesebelasan utama.
"Berdasarkan prestasi semasa latihan antara faktor dia diturunkan bagi aksi menentang Arsenal sebelum ini bagi membolehkannya mendapatkan minit permainan," katanya.
Tuchel menurunkan Arrizabalaga ketika The Blues melayan kunjungan Arsenal kendalian Mikel Arteta yang menyaksikan tuan rumah tewas 1-0 pada aksi di Stadium Stamford Bridge.
Pada aksi tersebut, Tuchel melakukan rombakan terhadap kelab London tersebut apabila melakukan tujuh pertukaran dalam kesebelasan utama termasuk menggantikan Edouard Mendy dengan Arrizabalaga.
Bagaimanapun selepas perlawanan, bekas pengendali Paris Saint Germain (PSG) dari Jerman itu mengakui kesilapan melakukan rombakan tersebut.
Untuk rekod, Arrizabalaga diturunkan dalam setiap perlawanan Piala FA musim ini.