KOTA BHARU - Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Dewan Jubli Perak, Majlis Daerah Tanah Merah akan mula dihuni oleh pesakit wanita bermula Sabtu.
Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, keputusan tersebut dibuat berikutan jumlah pesakit wanita semakin meningkat terutama dua hari menjelang hari raya.
Menurutnya, sebelum ini PKRC berkenaan dikhususkan kepada kumpulan pesakit lelaki dan kini 18 pesakit terbabit akan dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
"Sebelum pesakit wanita ditempatkan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa.
"Bagaimanapun jumlah tersebut bertambah beberapa hari menjelang hari raya dan trend tersebut semakin menaik sehingga hari raya ketiga. Oleh itu kita terpaksa ubah suai lokasi ini bagi memenuhi keperluan semasa," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan PKRC Gelanggang Seni pada Sabtu.
Dr Mohd Azman turut menerima sumbangan bantal daripada Persatuan Buddist Tzu Chi Cawangan Kelantan yang diwakilkan oleh Penyelaras Bantuan Covid-19 mereka, Evone Lim.
Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, untuk permulaan, seramai 50 pesakit perempuan akan dibawa ke PKRC Tanah Merah menggunakan bas mini.
Selain itu, Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Pasir Mas juga kini telah digunakan untuk pesakit wanita dan berada pada tahap maksimum iaitu 160 orang.
"Daripada 10 PKRC, empat daripadanya iaitu Putik, Tanah Merah, Pasir Mas, Gelanggang Seni disediakan untuk wanita dan boleh memuatkan lebih 600 pesakit melibatkan empat lokasi tersebut," katanya.
Ketika ditanya mengenai punca jangkitan, Dr Azman tidak menolak kemungkinan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang kurang menyebabkan mereka mudah dijangkiti.
Katanya, mereka yang dijangkiti berumur sekitar 20 hingga 60 tahun.
Bagaimanapun, beliau berharap rakyat negeri ini terus mematuhi SOP dan melakukan penjarakan sosial bagi memastikan penularan wabak dapat di cegah.