KUALA LUMPUR - Helah seorang lelaki yang menggunakan resit palsu untuk membuat tuntutan wang di sebuah pasar raya di Jinjang di sini terbongkar apabila dia ditahan polis pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima aduan daripada pasar raya tersebut selepas mendapati terdapat keraguan dalam transaksi yang dilakukan oleh suspek berusia 21 tahun itu.
Menurutnya, suspek yang juga seorang penganggur mengutip resit tersebut di tempat letak motosikal di luar pasar raya sebelum memasuki premis terbabit untuk mengambil barangan dalam resit berkenaan.
"Suspek kemudiannya ke kaunter khidmat pelanggan dan membuat tuntutan palsu kononnya ibunya tersalah mengambil barangan dalam resit tersebut dan meminta wangnya dikembalikan.
"Pengurus kewangan di pasar raya berkenaan meragui transaksi tersebut dan menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
"Pengurus berkenaan mendapati suspek selalu ke premis itu dengan tangan kosong sebelum mengambil barangan dalam resit untuk ditebus di kaunter khidmat pelanggan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul.
Dalam pada itu, Eng Lai berkata, lelaki berkenaan mengaku pernah melakukan jenayah sama di pasar raya tersebut sebanyak dua kali tahun ini.
Ujarnya, suspek yang berasal dari Kampung Chinchin, Gombak, di sini direman bermula Sabtu sehingga Selasa dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas jenayah penipuan.