KOTA BHARU - Empat lelaki dari Pasir Mas yang menunggang motosikal secara berasingan dikompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan merentas daerah tanpa kebenaran polis.
Kesemua mereka yang berusia 18 hingga 28 tahun itu memberi alasan mahu bersiar-siar ditahan dalam Op Rentas dan Samseng Jalanan di hadapan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Jalan Tok Guru, Pengkalan Chepa, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mereka ditahan pada jam 6 petang dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.
"Pemeriksaan lanjut ke atas penunggang motosikal itu mendapati mereka datang dari Pasir Mas ke Kota Bharu tanpa dokumen kebenaran rentas daerah daripada polis," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, kesemua penunggang motosikal itu dikenakan kompaun atas kesalahan merentas daerah tanpa kebenaran mengikut Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati kesemua lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha 15ZR memberi alasan ingin bersiar-siar di sekitar Kota Bharu bersama kumpulan motosikal mereka.
Katanya, operasi dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Bharu diketuai Asisten Superintendan Ahmad Adnan Mohamad bersama dua pegawai serta 16 anggota bermula 5 petang hingga 12 tengah malam Sabtu.
Tambah Abdul Rahim, melalui operasi itu seramai 205 individu termasuk 75 wanita diperiksa membabitkan 175 kenderaan.
"Sebanyak 185 saman dikeluarkan manakala tujuh kenderaan disita kerana tidak mengikut spesifikasi," katanya.
Abdul Rahim berkata, dalam operasi sama, seorang penjual buah berusia 26 tahun ditahan kerana memiliki 0.4 gram syabu.
Katanya, lelaki terbabit yang menunggang motosikal Yamaha 15ZR ditahan ketika berhenti di bahu jalan dan suspek cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan.
"Pemeriksaan di tubuh lelaki itu menemui satu peket kecil lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah di dalam poket seluarnya.
"Kes disiasat mengikut Sekyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.