KUANTAN - Seorang wanita pekerja kilang keropok ikan hancur lima jari selepas tangan kirinya tersangkut pada mesin pengisar dalam kejadian di Kampung Chendor pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa yang berusia 20 tahun sedang melakukan tugasan rutin di kilang menghasilkan keropok menggunakan mesin pengisar.
Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, sepasukan pegawai dan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu.
"Enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba Kemaman segera dikerahkan ke lokasi insiden terbabit.
"Mereka kemudiannya dibantu tujuh lagi pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng mengeluarkan mesin pengisar dari tapak asal dalam kilang terbabit memandangkan operasi mengeluarkan tangan mangsa sukar dilakukan di kilang itu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau memaklumkan, mangsa mengalami pendarahan teruk dan terpaksa dihantar ke Hospital Kemaman bagi mendapatkan rawatan segera.
Ismail berkata, pasukan perubatan Hospital Kemaman terpaksa membius mangsa bagi memudahkan proses mengeluarkan tangan mangsa dari mesin pengisar berkenaan.
"Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil sebaik proses itu selesai dan kini sedang mendapat rawatan susulan di hospital terbabit," ujarnya.