Pelajar maut kereta mewah dipandu hilang kawalan

Iklan
Keadaan kereta Audi RS 7 yang dipandu mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di Parit Buntar. Foto: pembaca

PARIT BUNTAR - Seorang pelajar institut pengajian tinggi swasta (IPTS) maut selepas kenderaan mewah yang dipandunya dipercayai hilang kawalan hingga melanggar lori muatan ayam di KM 179 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.05 petang, mangsa, Muhammad Aiman Mazman, 26, yang memandu kereta jenis Audi RS 7 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, seorang lelaki berusia 23 tahun yang merupakan penumpang hadapan kenderaan terbabit turut mengalami kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua mereka dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah menuju ke Kuala Lumpur.

Iklan

"Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya di sebelah kanan sebelum berpusing.

"Keadaan itu menyebabkan kereta berkenaan terbabas ke lorong kiri dan melanggar bahagian belakang lori yang dipandu lelaki berusia 55 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Iklan

Mazuki berkata, impak kemalangan itu menyebabkan bumbung kereta terbabit tercabut dengan kesan remuk pada keseluruhan bahagian.

"Kedua-dua mangsa yang terselamat dihantar ke Hospital Parit Buntar bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian," katanya.

Katanya, siasatan masih diteruskan dengan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.