SHAH ALAM - Pemuda Pas menggesa seluruh masyarakat di negara ini untuk melakukan tiga perkara bagi membantu rakyat Palestin.
Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, antara perkara tersebut adalah menyahut dan menjayakan kempen Aid 4 Palestine yang dilancarkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Duta Khas ke Timur Tengah.
Menurutnya, cara kedua ialah membaca Qunut Nazilah setiap kali solat fardu dan Jabatan Agama Islam Negeri diminta mengeluarkan arahan bagi semua masjid dan surau melaksanakannya.
"Semua ahli Pas juga perlu menggerakkan kempen dan promosi untuk menjayakan secepat mungkin sasaran minimum RM1 juta bagi disalurkan ke Palestin sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
"Kita tiada daya dan upaya yang jauh beribu batu untuk membantu mereka secara fizikal di sana. Justeru, selaku umat Islam yang cintakan saudaranya, kami menggesa dan menyeru seluruh masyarakat Malaysia untuk lakukan ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Menurut Khairil Nizam, Pemuda Pas menyeru semua pihak untuk bersatu hati membina perpaduan demi meneruskan kelangsungan kesejahteraan negara Malaysia khususnya.
Katanya, kejadian Nakbah Palestin berlaku adalah kerana tiadanya kesatuan antara umat, sehingga musuh berjaya mengambil peluang ke atas perpecahan umat.
"Darah yang mengalir di Palestin adalah darah kita, luka mereka adalah luka kita. Setiap nyawa yang terkorban, adalah kehilangan untuk kita. Moga ALLAH bersama para mujahid dan muslimin, dan memberi kemenangan ke atas mereka,” ujarnya.